Dituduh perampas Azri Iskandar, ini reaksi padu Afiqah Ishak. Pelakon baru, Afiqah Ishak menafikan dia sebagai punca perceraian pasangan selebriti Ellie Suriati dan Azri Iskandar, baru-baru ini.
Afiqah berkata, dia hanya berurusan dengan Azri atas urusan kerja ketika menjayakan penggambaran drama.
“Saya bertemu abang Azri hanya dua kali saja ketika di lokasi penggambaran. Tiada komunikasi lain melainkan dalam kumpulan kerja saja. Sebelum ini tidak pernah berkomunikasi dan sebagainya,” katanya.
Afiqah tidak menafikan dia ada berkawan dengan Azri di Facebook, tetapi hanya setakat itu saja dan mereka tidak pernah bertukar nombor telefon.
“Namun, apabila sudah bekerjasama untuk drama ini, baru saya ada nombor telefonnya.
“Kenapa saya pula yang dituduh sebagai perampas, kaki sondol dan punca perceraian sedangkan saya tiada kena mengena. Kenapa saya terpalit dengan kisah orang lain?” katanya.
Dalam pada itu, Afiqah turut membuat laporan polis berhubung tajuk yang digunakan beberapa portal hiburan tempatan yang menuduh dirinya sebagai perampas.
Selain mencemarkan imejnya, Afiqah juga mengambil langkah berwaspada bagi memastikan fitnah berkenaan tidak terus membelenggunya.
“Beberapa rakan mencadangkan saya untuk lebih berhati-hati pada masa hadapan. Kita tidak tahu niat orang, malah saya sendiri kurang pasti siapa yang menyebarkan gambar saya dengan abang Azri.
Jadi, saya memilih untuk membuat laporan polis atas tujuan keselamatan. Apa yang pasti, gambar itu bukan diambil daripada telefon bimbit saya,” katanya.
Terdahulu, Ellie memaklumkan selesai menjalani prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur (Keramat), di sini pada 17 Mei lalu.
Menurut Ellie yang pernah memenangi anugerah Pengarah Harapan di Festival Filem Malaysia Ke-26 menerusi filem Penanggal, dia memfailkan permohonan cerai ke atas suaminya, Azri sebelum Ramadan lalu.
Hasil perkahwinan selama 19 tahun, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Azrell Omar, 18 dan Nur Azreen, 13.
BACA:
Misteri kehilangan 2 remaja, rupanya ini yang terjadi