Dong Zong mahu kerajaan berfikiran terbuka syarikat arak sumbang dana kepada sekolah

Syarikat arak sumbang derma, Dong Jiao Zong mahu kerajaan berfikiran terbuka

Gabungan Persekutuan Pertubuhan Lembaga Sekolah-Sekolah Cina Malaysia (Dong Jiao Zong) meminta kerajaan berfikiran terbuka dalam menerima sumbangan sebarang syarikat, termasuk syarikat minuman keras untuk membantu perkembangan pendidikan.

Dong Jiao Zong berkata selagi syarikat terbabit menjalankan perniagaan sah dan menyalurkan sumbangan atau derma tanpa sebarang syarat sampingan, masyarakat sepatutnya menyambut baik sumbangan sosial syarikat itu dan membantu perkembangan sekolah vernakular.

“Sokongan masyarakat terhadap perkembangan pendidikan dan syarikat memainkan tanggungjawab sosial mereka akan menjadikan pengumpulan sumber lebih efektif.

“Selagi syarikat terlibat menjalankan perniagaan sah dan (derma) tanpa sebarang syarat sampingan, masyarakat sepatutnya menyambut baik sumbangan sosial syarikat, membantu perkembangan sekolah vernakular.

“Kerajaan juga seharusnya bersikap terbuka serta menggalakkan syarikat untuk berbakti kepada masyarakat,” kata Dong Jiao Zong menerusi kenyataan berbahasa Mandarin disiarkan di laman webnya pada Isnin.

Difahamkan, Dong Jiao Zong berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar yang sebelum ini mengkritik konsert amal dianjurkan di SJK (C) Tche Min di Sungai Pelek, Sepang kerana dicemari dengan penajaan syarikat gergasi minuman keras yang didakwa beliau secara terang-terangan sedang menormalisasi arak di sekolah.

Isu itu juga mendapat perhatian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang menjelaskan sumbangan melibatkan hasil aktiviti perjudian, rokok, dadah, minuman keras dan seumpamanya yang boleh menjejaskan perkembangan potensi murid dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani adalah dilarang.

KPM berkata larangan itu adalah berdasarkan Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 3 Tahun 2018, justeru pentadbir di institusi pendidikan KPM diingatkan supaya mematuhi garis panduan sedia ada berkaitan penganjuran program dan penerimaan sumbangan.

KPM juga mengambil perhatian serius isu berkenaan penganjuran program amal itu dan mengatakan siasatan lanjut sedang dijalankan pihaknya.

Mengulas kenyataan KPM, Dong Jiao Zong mengingatkan pihak berkuasa untuk mengekalkan penilaian profesional dan rasional serta tidak terpengaruh dengan bahasa politik.

“Kami berpendapat Kementerian Pendidikan perlu memberikan penjelasan yang jelas mengenai perkara ini bagi mengelakkan halangan kepada pengumpulan dana sekolah rendah Cina.

“Perlu diketahui, sekolah Cina telah lama menghadapi masalah seperti bangunan yang uzur, kekurangan infrastruktur dan dana yang tidak mencukupi.

“Selama 30 tahun lalu, syarikat alkohol TIGER bersama-sama individu prihatin telah aktif mengumpul dana untuk sekolah Cina, dengan berjaya mengumpul ratusan juta ringgit untuk beratus-ratus sekolah Cina di seluruh negara.

“Sumbangan ini yang menguntungkan ramai pelajar sepatutnya dipuji, namun kini telah diputarbelitkan dengan tujuan mencetuskan konflik perkauman, merosakkan keharmonian masyarakat,” kata kumpulan pendidikan Cina itu.

Baca : Pemilik restoran cina muslim diminta mengucap selepas gantung tanglung