EKONOMI : Anwar Selesai Jumpa Elon Musk, Ini Rupanya Yang Rakyat Malaysia Bakal Dapat

Penyertaan syarikat SpaceX di dalam perkhidmatan satelit Starlink yang dapat menyumbang kepada capaian internet lebih laju dan meluas terutamanya di kawasan pedalaman merupakan antara intipati perbincangan sidang video Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SpaceX, Elon Musk.

Anwar berkata, inisiatif itu akan meningkatkan keupayaan dan kesejahteraan rakyat, terutamanya dari aspek pendidikan dan potensi teknologi pertanian serta penjanaan pendapatan.

Beliau berkata, Malaysia mengalu-alukan minat dan keputusan pelaburan Musk di negara selain menyatakan sokongan kerajaan terhadap pembukaan ibu pejabat, pusat servis dan pusat pengalaman jenama kenderaan elektrik Tesla milik Elon di Selangor pada tahun ini.

 

“Malaysia akan terus memperkasakan komitmen dalam soal pelepasan karbon sifar bersih seawal tahun 2050,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Antara initipati perbincangan ialah :

  • Persetujuan untuk Tesla Inc. buka ibu pejabat di Cyberjaya.
  • Elon Musk nyata persetujuan untuk melabur secara besar-besaran di Malaysia, akan berkunjung ke negara ini dalam masa terdekat.
  • Tiga syarikat Malaysia terlibat dalam projek bersama Space X.
  • Kerjasama dengan Elon Musk dalam Starlink, SpaceX dan kenderaan elektrik bawa puluhan ribu peluang pekerjaan tenaga mahir di Malaysia.

Jelas Anwar, Malaysia mempunyai pelan dan ekosistem komprehensif, serta sumber berdaya saing dalam menyokong industri tenaga bersih termasuk mobiliti elektrik.

Selain Anwar, sidang video tersebut turut disertai oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, dan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.