Fahami konsep merotan & pukul anak dalam Islam

Fahami konsep merotan & pukul anak dalam Islam..

MENJADI satu tanggungjawab dan kewajipan ke atas setiap ibu bapa yang beragama Islam untuk mendidik anak masing-masing.

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, pendidikan terhadap anak-anak berlaku dalam erti kata menyuruh ke arah kebaikan dan melarang daripada melakukan keburukan.

Antara contoh nas yang memerintahkan kedua-dua ibu bapa supaya memberikan didikan kepada anak-anak mereka adalah berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin ‘Amru bin Al- ‘Ash R.anh bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

Maksudnya: Perintahkanlah kepada anak-anak kamu untuk mengerjakan solat semasa mereka berumur tujuh tahun. Dan pukullah mereka sekiranya mereka tidak solat ketika berumur 10 tahun dan asingkanlah mereka dari tempat tidur kamu. [Riwayat Abu Daud]

Dalam hadis ini, perintah daripada syarak adalah ditujukan kepada ibu bapa untuk memberi didikan kepada anak-anak mereka terutamanya dalam melaksanakan ibadah solat.

Zahir daripada hadis ini adalah, ibu bapa boleh memukul anak-anak sekiranya mereka meninggalkan solat semasa berumur 10 tahun.

Imam al-Nawawi Rahimahullah ada mensyarahkan hadis ini ketika beliau mengulas kenyataan pemilik kitab al-Muhazzab yang berkata: Dan tidaklah diperintahkan solat ke atas seseorang yang tidak wajib ke atas dirinya untuk menunaikan solat kecuali kepada kanak-kanak.

Ini kerana, kanak-kanak diperintahkan (oleh ibu bapa) untuk mengerjakan solat ketika mereka berumur tujuh tahun, dan dipukul jika mereka meninggalkannya ketika berusia 10 tahun.

Beliau kemudiannya menukilkan kata-kata Imam al-Syafie Rahimahullah yang mengatakan: Menjadi tanggungjawab ke atas para ibu dan bapa untuk mendidik anak-anak mereka, serta mengajarkan ilmu berkaitan taharah, solat, dan memukul anak-anaknya sekiranya mereka meninggalkannya semasa telah sampai umur berakal (mumayyiz).

Demikian juga Imam al-Rafi’e Rahimahullah berkata: Wajib ke atas para ibu dan bapa untuk mengajarkan anak-anak mereka itu tentang taharah, solat, dan syariat-syariat apabila anak-anak mereka telah berumur tujuh tahun dan memukul anak-anak itu jika mereka meninggalkannya setelah mereka berumur 10 tahun. [Al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, Al-Nawawi]

*Kaedah mendidik anak-anak*

Berkenaan dengan kaedah mendidik anak-anak, terdapat beberapa cara yang boleh dilakukan oleh pihak ibu bapa setelah nasihat dengan lidah, teguran dengan lemah lembut, dan selainnya iaitu merotan dan memukul.

Perkara paling asas yang perlu kita fahami adalah, konsep merotan dan pukulan kepada anak-anak dalam Islam adalah lebih kepada proses pendidikan dan membentuk adab, dan bukannya bersifat menjatuhkan hukuman.

Justeru, syarak meletakkan beberapa dhawabit (kriteria) dalam menjalankan kedua-dua proses tersebut. Kami ringkaskannya seperti berikut:

1. Dalam merotan anak-anak, sebatan tidak boleh dilakukan melebihi 10 kali. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abi Burdah al-Ansari R.anh bahawa Nabi SAW bersabda:

Maksudnya: Tidak disebat seseorang itu melebihi 10 kali sebatan kecuali pada (hukuman) had daripada hudud-hudud Allah SWT [Riwayat al-Bukhari]

2. Rotan pula hendaklah dengan niat untuk mendidik anak-anak serta membentuk peribadi mulia pada diri mereka dan bukannya untuk menghukum dan mencederakan mereka.

3. Berkenaan dengan memukul pula, ibu bapa dilarang untuk memukul ke bahagian muka anak-anak. Ini kerana, terdapat larangan daripada Nabi SAW dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah anh bahawa baginda bersabda:

Maksudnya: Apabila salah seorang daripada kamu bergaduh maka hendaklah dia menjauhi (dari memukul) muka. [Riwayat Muslim]

Hal yang demikian itu kerana, muka seseorang itu adalah tempat yang lembut dan menghimpunkan keseluruhan keindahan. Bahagian anggota padanya juga lembut dan boleh rosak apabila dipukul.

4. Memukul juga tidak boleh menyebabkan kerosakan dan kemudaratan pada tubuh badan anak-anak. Ini sebagaimana yang kami nyatakan, tujuan dipukul adalah bersifat ta’dibi (memberi pendidikan) dan bukannya ta’qibi (memberi hukuman dan seksaan).

Jadi, dapat disimpulkan bahawa merotan anak dengan cara yang melampau dan menyebabkan kecederaan adalah haram.

Ini kerana Islam menolak sebarang bentuk kekerasan sekali pun dalam perkara kebaikan dan melarang kepada perbuatan yang memberi mudarat.

Ketahuilah bahawa anak-anak adalah satu amanah daripada Allah SWT untuk dipelihara dan diberi didikan sebaik mungkin oleh ibu bapa dan setiap ibu bapa akan dipersoal di akhirat kelak terhadap apa yang telah mereka lakukan kepada anak-anak mereka.

Dalam memberi didikan, ia bukanlah sekadar dengan merotan atau memukul. Sebaliknya, lakukanlah gabungan di antara al-Targhib (memberi ransangan atau anjuran) dan juga al-Tarhib (memberikan amaran dan ancaman) dalam membentuk peribadi anak-anak.

BACA JUGA:

Apa itu OOTD? Jom ketahui maksudnya…

Cara buat gambar passport guna telefon sahaja..

’Update’ terkini Timeline Twitter berdasarkan pilihan terakhir anda