Fokus aspek operasi, elak kelewatan penerbangan berlaku – Anthony Loke

Fokus aspek operasi, elak kelewatan penerbangan berlaku – Anthony Loke. Kementerian Pengangkutan (MOT) mahu syarikat penerbangan menumpukan aspek operasi bagi mengelak berlakunya kelewatan penerbangan.

Menterinya Anthony Loke berkata beliau telah mengadakan perbincangan dengan syarikat penerbangan tambang rendah bagi mencari penyelesaian isu terbabit.

“Memang saya tahu berkenaan rungutan orang ramai berhubung isu delay (kelewatan) penerbangan. Ini disebabkan pelbagai faktor seperti teknikal, cuaca dan sebagainya.

“Tetapi saya sudah minta syarikat penerbangan untuk beri fokus kepada operasi sebab kita harapkan ada suatu operasi lebih baik bagi kurangkan masalah kelewatan penerbangan,” katanya selepas menghadiri majlis pelepasan pesawat penerbangan tambahan istimewa AirAsia sempena Tahun Baharu Cina di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), malam tadi.

AirAsia sebelum ini mengumumkan 52 penerbangan tambahan pada tambang rendah tetap ke enam destinasi di Sabah dan Sarawak dari 17 hingga 30 Jan 2023 sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Syarikat penerbangan tambang rendah itu menawarkan harga tiket RM199 sehala bagi penerbangan dari Kuala Lumpur atau Johor Bahru ke Kuching, Sibu, Bintulu serta Miri.

Loke berkata sambutan menggalakkan diterima daripada orang ramai membuktikan inisiatif tersebut memberi manfaat kepada penumpang.

“Kita ingin beri peluang kepada rakyat Malaysia yang bekerja di Semenanjung untuk pulang menyambut perayaan di Sabah dan Sarawak. Bukan sahaja untuk Tahun Baharu Cina tetapi ia akan diteruskan untuk Hari Raya kelak,” katanya.

BACA JUGA :

Budak lelaki Bangladesh ditemui terperangkap dalam kontena

Pokok tumbang, seorang remaja perempuan maut akibat terhempap

Ops Bersepadu Perayaan Tahun Baharu Cina: JPJ menyamar jadi penumpang bas