Gagal jatuhkan PN dan tolak belanjawan bakal jadi batu nesan buat politik Anwar

Beberapa penganalisis politik menyifatkan kredibiliti Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim akan tercalar sekiranya pembangkang gagal menolak Belanjawan 2021.

Malah, menurut Dr Nuurrianti Jalli, Anwar akan kehilangan sokongan dalam Pakatan Harapan (PH) sebagai calon perdana menteri sekiranya Belanjawan 2021 kerajaan PN diluluskan.

“Pada pendapat saya, jika dia (Anwar) gagal menolak Belanjawan 2021, Anwar mungkin akan kehilangan sokongan dari penyokongnya di dalam Pakatan Harapan (PH) sebagai calon perdana menteri mereka, malah juga boleh meragukan sokongan penyokong PH di luar parlimen.

“Sekarang, situasi adalah sokongan lebih banyak berpihak kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan dasar Belanjawan 2021 juga telah banyak memberi tumpuan kepada kesan Covid-19 kepada rakyat.

“Ini juga meningkatkan keyakinan di kalangan penyokong kerajaan sedia ada malah mungkin akan menarik penyokong baru,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Nurrianti turut berpandangan, ketika ini, Anwar tiada usul jelas atau asas untuk menentang belanjawan tersebut.

“Sekarang ini pada pendapat saya, Anwar tiada usul yang jelas dan apakah cadangan yang lebih baik sebagai asas tentangan Belanjawan 2021, ada sesetengah pemerhati hanya melihat Anwar sebagai bunyi bising di Parlimen tetapi tidak memberi kesan yang kuat terhadap perubahan polisi atau contohnya perubahan belanjawan.

“Namun kiritikan pembangkang (Anwar) itu perlu, untuk memastikan parlimen ada elemen semak dan imbang,” jelasnya lagi.

Senada dengan Nurrianti, penganalisis politik Arif Anwar Lokmanol Hakim turut menyatakan sekiranya Anwar gagal menolak belanjawan, keyakinan ahli PH terhadapnya juga akan berkurangan.

“Dengan (Anwar) gagal menolak belanjawan, ia pasti calar kredibiliti Anwar untuk terus jadi calon perdana menteri atau mengemudi pilihan raya umum (PRU15) nanti.

“Jika dari gabungan parti PH mula mempertikaikan hal itu (sokongan Anwar). Ia akan jadi dan sudah tentu keyakinan ahli PH kepada Anwar makin berkurangan,”jelasnya.

Setakat ini, Belanjawan 2021 telah memasuki peringkat kedua, iaitu pengundian jawatankuasa.

Meskipun terdapat cadangan dari pembangkang untuk membuat undian secara belah bahagi buat beberapa peruntukan kementerian, namun sehingga tujuh pusingan undian, pembangkang masih tidak berjaya memenangi satu pun undi belah bahagi berkenaan.

Pada peringkat dasar, terdapat cubaan dari pembangkang untuk membuat pengundian secara belah bahagi. Bagaimanapun, hal itu tidak berjaya setelah tidak mendapat sokongan 15 anggota parlimen yang diperlukan bagi proses itu dilakukan.

Anwar, yang sebelum ini tidak menyokong undian belah bahagi di peringkat dasar mengakui, dia telah meminta Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng untuk tidak menyokong cara pengundian tersebut.

Ini kerana kata Anwar, dia tidak mahu dilihat menolak insentif baru yang diumumkan oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Terdapat juga ahli parlimen yang berkata, Anwar bertindak demikian kerana enggan mendedahkan jumlah sokongan majoriti yang dimilikinya.

Beberapa anggota parlimen yang tidak mahu dinamakan sebelum ini berkata, Anwar yang juga merupakan presiden PKR telah berjanji untuk melepaskan jawatannya sebagai ketua pembangkang di parlimen jika gagal membuktikan dia memiliki sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, penganalisis dari Universiti Utara Malaysia, Prof Dr Rusdi Omar pula berpandangan sebaliknya.

Menurutnya, ini demikian kerana sokongan Anwar sukar diukur melalui belanjawan ini.

“Tak nampak ia akan memberikan kesan kepada Anwar kerana Belanjawan 2021 perlu diluluskan bagi menyelesaikan isu kritikal seperti isu kesihatan, isu rakyat dan ekonomi.

“Tiada kena mengena dengan sokongan majoriti yang diterimanya dan populariti individu sukar diukur melalui belanjawan ini,” katanya lagi.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/553547