Bekerja sebagai pembersih rumah sering kali dipandang sebelah mata, dianggap tidak berprestij dan hanya kerja sampingan.
Namun, siapa sangka bahawa di Amerika Syarikat (AS), ‘kerjaya’ ini bukan sahaja bernilai malah boleh mendatangkan pendapatan yang lumayan.
Video yang dimuat naik di laman Youtube VOA Indonesia menarik perhatian warga maya apabila berkongsi kisah seorang wanita yang berjaya mengubah kehidupannya melalui pekerjaan sebagai pembersih rumah di AS.
Dengan hanya lulusan sekolah menengah, wanita berasal dari Ponorogo, Pulau Jawa, Indonesia itu mampu meraih pendapatan sehingga RM32,000 sebulan.
Berdasarkan video tersebut, wanita yang mesra disapa “Eva” itu sudah lebih 10 tahun bekerja membersihkan rumah-rumah di AS.
Dalam seminggu, Eva membersihkan 14 rumah pelanggannya dan boleh mendapatkan upah antara $1,650 (RM7,801.20) hingga $1,700 (RM8,037.60).
“Saya kerja tujuh hari dalam seminggu, dari pagi hingga petang. Membersihkan dapur, bilik-bilik, tandas, menyapu dan mengemop lantai sudah menjadi rutin harian.
“Memang penat, dan badan pun sakit. Kadang-kadang, takda masa untuk makan dan terpaksa makan dalam kereta,” katanya.
Kerja keras akan membuahkan hasil yang luar biasa
Menurut Eva, kerja sebagai pembersih rumah memang melelahkan tetapi dia gembira kerana titik peluhnya membuahkan hasil yang sepadan dengan kerja kerasnya. Tambah Eva, dia boleh mendapatkan lebih kurang $6,800 (RM32,150.40) dalam sebulan.
“Selagi saya masih kuat dan bertenaga, saya akan terus bekerja. Bila dah tua, saya akan pulang ke tanah air, Indonesia,” katanya.
Kisah wanita kelahiran Indonesia ini adalah bukti bahawa setiap pekerjaan mempunyai nilai dan potensi tersendiri.
Dalam dunia yang serba kompetitif ini, kejayaan boleh dicapai oleh sesiapa sahaja yang bekerja dengan tekun, cekap, dan penuh kesungguhan.
Beliau telah membuktikan bahawa dengan kerja keras, apa yang dianggap sebagai pekerjaan biasa boleh menjadi platform untuk mencapai hasil yang luar biasa.
Kisahnya bukan sahaja mengubah persepsi terhadap kerjaya pembersih rumah tetapi juga menginspirasi ramai untuk menghargai dan berusaha lebih keras dalam bidang masing-masing.
Baca : ‘Takkan saya berbikini tak boleh, susahlah orang kita ni’