Gelendangan jadikan tempat duduk Terminal Bas Komtar sebagai ‘rumah’

Gelendangan jadikan tempat duduk Terminal Bas Komtar sebagai ‘rumah’.

Bukan sahaja menjadi tempat tidur, tempat duduk di Terminal Bas Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) turut menjadi ‘rumah’ buat gelandangan sejak beberapa tahun lalu.

Pelbagai kaedah sudah diambil pihak berkuasa untuk ‘membersihkan’ kawasan itu namun golongan itu kembali menghuni terminal bas terbabit saban waktu.

Baru-baru ini didapati beberapa objek ditemui di tempat duduk terminal bas antaranya, beg, kotak dan sangkar kucing dipercayai menandakan ‘tempat tidur’ masing-masing.

Tindakan itu menjadikan tempat duduk terhad dan tidak dapat diduduki orang ramai yang menunggu bas.

Kira-kira 30 gelandangan memenuhi kawasan itu pada waktu tengah hari dengan mereka dikesan berdasarkan beg pakaian lusuh yang dibawa dan jumlah bertambah menjelang petang terutama ketika kunjungan individu untuk menderma makanan.

Penduduk tempatan, Wan Nor Hayati Omar, 50, berkata, dia menggunakan pengangkutan awam di situ sejak lebih 10 tahun lalu untuk berulang alik dari rumahnya di Kampung Melayu, Air Itam ke tempat kerja di hotel berhampiran.

Katanya, dia mengesan kehadiran gelandangan yang bertambah sehingga mencacatkan pemandangan dan fungsi sebenar terminal bas dalam kalangan orang awam termasuk pelancong asing.

“Saya pernah tengok ada sekeluarga (gelandangan) yang terdiri daripada ibu bapa dan beberapa anak kecil yang menjadikan terminal ini sebagai rumah mereka.

“Mereka mandi di tandas awam berhampiran dan ada yang tukar baju sekolah di sini sebelum menaiki bas ke sekolah masing-masing, begitu juga gelandangan yang bekerja, mereka hanya menjadikan lokasi ini sebagai tempat tidur.

“Namun paling dikesalkan apabila ada segelintir daripada mereka yang membuang air merata-rata seperti di parkir atau di depan kedai sehingga tiada pemilik yang mahu menyewa lagi kedai itu,” katanya.

Mengulas lanjut Wan Nor Hayati berkata, pemberian makanan secara percuma kepada golongan itu juga menyebabkan mereka ‘selesa’ menjadi gelandangan di situ.

“Pada pendapat saya, perlu ada saluran betul jika hendak memberi makanan kepada gelandangan kerana tindakan itu menyebabkan mereka terus menunggu di situ.

“Ramai yang memberi (makanan) sehingga ada yang jadi pembaziran. Ada kotak yang masih mempunyai makanan dibuang ke dalam tong sampah,” katanya lagi.

Sementara itu, Mohamed Hadri Iman Mohamed Hazli, 25, berkata, dia kerap berfikir mengenai tahap keselamatan ketika menunggu bas di kawasan itu.

Katanya, usaha pelbagai pihak bagi menarik pengunjung dan pelancong asing wajar dipuji, namun kawasan terminal bas itu perlu dijaga dengan baik.

“Kita letih pulang dari kerja hendak duduk sementara menunggu bas pun tidak boleh kerana mereka sudah letak barangan di situ, begitu juga penumpang yang lebih berusia kadang-kadang terpaksa berdiri dalam tempoh lama berikutan tiada tempat duduk,” katanya.

BACA JUGA:

Pasukan Hoki Malaysia masih bersemangat, akan bangkit semula demi negara

Kejadian tembakan sekolah AS, dua pelajar maut, seorang guru cedera

Treler tong gas terbalik, pemandu tersepit

COMMENTS

Wordpress (1)
  • […] Gelendangan jadikan tempat duduk Terminal Bas Komtar sebagai ‘rumah’ […]