Gempar! Menteri dipecat kerana gagal tangani krisis ‘minyak’. Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi), hari ini menggugurkan menteri perdagangannya berikutan krisis minyak masak yang mengganggu pasaran global dan menegaskan ‘rakyat memerlukan individu lebih berpengalaman’.
Jokowi menggugurkan Muhammad Lutfi daripada jawatan itu dalam rombakan Kabinet dan menamakan Zulkifli Hasan, yang berada dalam gabungan kerajaan, sebagai penggantinya.
“Beliau (Zulkifli) sesuai sebagai menteri perdagangan. Ketika ini untuk isu makanan, rakyat memerlukan individu berpengalaman, yang bekerja di lapangan secara langsung,” katanya kepada pemberita.
Zulkifli memaklumkan keutamaannya ketika ini adalah untuk ‘segera’ memulihkan krisis minyak masak yang dialami 270 juta rakyat Indonesia, dengan kebanyakannya bergantung pada komoditi itu untuk makanan dan perniagaan.
Walaupun menjadi pengeluar minyak sawit terbesar dunia, Indonesia bergelut dengan kekurangan bekalan domestik dan lonjakan harga sejak beberapa bulan lalu ketika perang di Ukraine menggugat bekalan minyak makan global.
April lalu, kerajaan Indonesia mengenakan sekatan eksport minyak sawit yang mengejutkan pasaran global selepas Russia menceroboh Ukraine, namun sekatan itu kini sudah dibatalkan.
Indonesia menghasilkan kira-kira 60 peratus daripada minyak sawit dunia, yang digunakan dalam produk merangkumi coklat hingga kosmetik, dengan satu pertiga digunakan dalam pasaran domestik.
Rombakan Kabinet itu dilaksanakan ketika Jokowi cuba bertindak balas terhadap beberapa isu di negara ekonomi terbesar di Asia Tenggara itu, dengan kekurangan bekalan minyak masak domestik adalah yang paling menekan, kata pakar.
“Tiada masalah menggantikan orang ketika ‘waktu kecederaan’, asalkan ia bertujuan meningkatkan prestasi dan bukan untuk pemulihan politik,” kata penganalisis politik Universiti Paramadina, Hendri Satrio.
BACA:
Lelaki ini kongsi kesan buruk kalau basuh cermin kereta retak, ramai yang dah buat silap
Ini 5 jenama telefon paling popular di Malaysia, ramai yang belum tahu
Tamak haloba punca ramai penjawat awam ketagih main judi online