Majlis perkahwinan biasanya diadakan dengan meriah dan secara besar-besaran, terutama bagi golongan ternama dan berada. Venue yang sering menjadi pilihan untuk majlis seperti ini adalah dewan-dewan besar atau lokasi lapang yang luas, bagi memastikan keselesaan para tetamu.
Namun, dewan perkahwinan ini naik satu anak tangga apabila dibina dengan cukup besar dan luas berbanding lokasi majlis perkahwinan tipikal yang lain. Kisah tersebut dikongsikan oleh perancang acara perkahwinan terkemuka dunia, Baz Events, melibatkan projek mereka di Hyderabad, India.
Siap Ada Sungai Buatan di Dalam Lokasi Majlis
Menurut Baz Events, mereka membina venue majlis perkahwinan tersebut di atas tapak seluas kira-kira 1 juta kaki persegi. Mereka memerlukan tenaga kerja dengan pelbagai kepakaran untuk memastikan venue ini dapat dibina dengan sempurna.
Antara kemudahan yang dibina termasuklah jalan raya, tempat parkir kereta, dua kawasan yang diperuntukkan untuk jamuan makan malam, dan satu dewan utama. Projek ini memakan masa kira-kira 75 hari untuk siap sepenuhnya.
Dalam hantaran Shorts di laman YouTube, Baz Events menjelaskan bahagian dalam dewan utama dihiasi dengan bunga-bunga berwarna ungu serta penataan cahaya yang memukau. Bukan itu sahaja, satu pentas khas untuk menempatkan set piano turut dibina selain sungai buatan di kawasan sekitarnya.
Dewan Majlis Kahwin Cukup Besar, Seluas 1 Juta Kaki Persegi
Bahagian luar lokasi juga tidak kurang hebatnya apabila penataan cahaya bagi lampu jalan raya menuju ke lokasi sangat luar biasa. Pengunjung yang hadir akan disambut dengan lampu jalan berwarna keunguan, memberikan pengalaman luar biasa dari awal hingga akhir majlis.
Selain India, Baz Events turut mengendalikan acara perkahwinan berskala besar di seluruh dunia seperti Qatar, Singapura, dan lain-lain. Kejayaan mereka dalam mencipta pengalaman perkahwinan yang mewah dan eksklusif ini menjadikan mereka antara perancang acara perkahwinan yang paling diidamkan oleh golongan ternama di seluruh dunia.
Dengan dewan seluas 1 juta kaki persegi, majlis perkahwinan ini pasti akan dikenang sebagai salah satu yang paling megah dan mewah yang pernah diadakan. Ini menunjukkan komitmen dan kreativiti Baz Events dalam mengendalikan acara yang bukan sahaja memenuhi tetapi melangkaui jangkaan para pelanggan mereka.
BACA: Treler angkut pesawat jadi punca jam teruk atas jalanraya