Gol kedua Malaysia dibatalkan, tindakan Dae Yong diragui

Gol kedua Malaysia dibatalkan, tindakan Dae Yong diragui

Malaysia sepatutnya membawa bekalan selesa ke Thailand, Selasa ini, seandainya gol kedua skuad negara pada perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), malam ini, tidak dibatalkan.

Keputusan pengadil dari Korea Selatan, Kim Dae Yong membatalkan jaringan pada minit ke-58 itu kerana kononnya terdapat pemain Harimau Malaya mengasari pertahanan Thailand sehingga cedera, mencetuskan misteri.

Jika melihat kepada ulang tayang, jelas sekali penjaga gol Thailand, Kittipong Phoothawchuek ‘menyiku’ pertahanan sendiri dalam usahanya mengeluarkan bola dari kawasan berbahaya.

Malah, dua pemain Malaysia iaitu Darren Lok dan Dominic Tan pula tidak mengasari pertahanan lawan apabila mereka hanya melonjak untuk berebut bola di udara dalam usaha menjaringkan gol.

Kelihatan, bola terkena salah seorang pemain terbabit sebelum menerjah gol lawan, sekali gus sepatutnya Malaysia mendahului perlawanan dengan 2-0.

Tetapi, Dae Yong secara tiba-tiba membuat keputusan di luar dugaan apabila membatalkan gol itu kerana kononnya pemain Malaysia mengasari pertahanan lawan hingga terpaksa mendapatkan rawatan susulan.

Situasi terbabit menyaksikan Malaysia hanya membawa bekalan tipis satu gol untuk perlawanan timbal balik di Stadium Thammasat, Thailand, Selasa ini, dalam usaha menempah tiket ke final.

Keputusan pelik diambil Dae Yong sebenarnya bukanlah satu perkara menghairankan apabila penyokong Vietnam pernah melakukan petisyen kepada Persatuan Bolasepak Korea Selatan supaya pengadil terbabit tidak lagi dibenarkan mengadili perlawanan antarabangsa.

Ini kerana terdapat beberapa keputusan dibuat pengadil itu meragukan selain kekurangan pengetahuan membabitkan peraturan bola sepak hingga menyebabkan pasukan Vietnam tewas 3-4 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) selepas terikat 1-1 pada final Piala Asia 2018.

Terdahulu, skuad Harimau Malaya membawa bekalan tipis ke Thailand menerusi jaringan Faisal Halim pada minit ke-11.

Pemain sayap itu yang menyambut hari lahir ke-25, hari ini, menjaringkan empat gol dalam kempen Piala AFF kali ini.

BACA JUGA:

Bolehkah guna tisu basah untuk berwuduk? Ini penjelasan mufti

Cuti balik kampung, perhambakan mak ayah itu dosa besar

Jamak 3 hari, ramai yang keliru perlaksanaannya, ikuti penjelasan mufti