Barisan Nasional (BN), rakan sekutunya daripada Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) akan bertembung di 17 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya negeri (PRN) Sabah ke-16.
DUN terbabit adalah Bengkoka, Matunggong, Tandek, Kadamaian, Tanjung Aru, Kapayan, Moyog, Lumadan, Paginatan, Tambunan, Bingkor, Liawan, Melalap, Tulid, Sook, Telupid dan Karamunting.
Dalam pertembungan 3 sekawan di 17 kerusi itu, antara lokasi yang menarik ialah DUN Bengkoka yang menyaksikan calon BN Harun Durabi, juga bekas naib ketua Pemuda Umno Kudat akan berdepan calon muka baru, iaitu Penolong Setiausaha PBS Banggi, Dr Samuil Mopun dalam pertandingan 11 penjuru.
Pertembungan antara rakan sekutu di DUN Matunggong pula melibatkan penyandang Julita Mojungki daripada PBS akan berdepan dengan Setiausaha Agung Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Richard Kastum yang merupakan calon BN, bagi mempertahankan kerusi tersebut.
Powered by Streamlyn
Turut menarik tumpuan ialah DUN Tandek yang menyaksikan pertembungan antara calon paling muda dalam edisi kali ini yang mewakili BN iaitu ketua Bahagian PBRS Tandek, Yillson Yanggun ditentang timbalan ketua Bahagian PBS Tandek Hendrus Anding.
Lebih menghangatkan kerusi DUN Tandek apabila penyandangnya Anita Baranting turut bertanding bagi mempertahankan kerusi tersebut dalam pertandingan 6 penjuru.
Manakala di DUN Kapayan pula menyaksikan Pengerusi MCA Sabah Lu Yen Tung mewakili BN, bertembung dengan bekas Adun Kapayan Dr Edwin Bosi daripada PBS dalam pertandingan 7 penjuru.
Bagi DUN Melalap pula, calon BN Jamawi Jaafar akan berdepan calon PBS Radin Malleh yang merupakan timbalan presiden PBS juga bekas Adun Melalap sejak 1999 sehingga 2018 dalam persaingan 6 penjuru yang turut menyaksikan penyandangnya iaitu Naib Presiden Warisan Peter Anthony turut bertanding untuk mempertahankan kerusi berkenaan.
Persaingan merebut kerusi DUN Bingkor dan DUN Tambunan juga akan menjadi tumpuan apabila penyandangnya Robert Tawik (PN-STAR) dan Presiden STAR Jeffrey Kitingan akan berdepan pencabar mereka yang merupakan rakan sekutunya PBS masing-masing diwakili Peter Jino Allion dan Silverius Bruno.
Situasi sama berlaku di DUN Moyog yang menyaksikan calon PN-STAR Joe Suleiman akan bertemu dengan calon PBS John Chryso Masabal dalam pertandingan 7 penjuru yang turut menyaksikan bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri Darell Leiking akan bertanding atas tiket Warisan.
PRN ke-16 ini juga menyaksikan satu lagi drama politik antara BN, PN dan PBS apabila kesemuanya bersaing untuk merebut 2 kerusi, iaitu di DUN Paginatan dan DUN Tulid.
PRN kali ini menyaksikan 73 kerusi DUN dipertandingkan, termasuk 13 kerusi baru.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Sept sebagai tarikh pengundian, manakala pengundian awal pada 22 Sept.
Berita penuh: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2020/09/13/prn-sabah-bn-pn-pbs-bertembung-di-17-kerusi-dun/