Hadir program Pejuang, Osman berani hadap segala kemungkinan

Bekas menteri besar Johor Osman Sapian baru-baru ini dilihat bersama beberapa pemimpin Pejuang semasa kempen pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, selain tular satu video menunjukkan dia sedang berucap dipercayai berkempen menyokong calon bebas yang disokong Pejuang, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi.

Difahamkan ini bukan kali pertama ketua bahagian Bersatu Ayer Hitam itu tampil dalam program melibatkan bekas pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad selepas disingkirkan dari parti terbabit.

Malah, Malaysiakini dimaklumkan Osman, yang sebelum ini merupakan ketua Bersatu Johor, telah dilihat pada beberapa acara Bersatu Blackout anjuran kem Mahathir.

Bersatu ‘Blackout’ merupakan kumpulan dalam parti itu yang berpihak kepada Mahathir Mohamad yang menentang presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.

Pada Mei lalu, Mahathir dan beberapa pemimpin yang menyokongnya termasuk Marzuki yang merupakan setiausaha agung parti Bersatu digugurkan keahlian mereka.

Ekoran daripada itu, Mahathir menubuhkan parti baru yang diberikan nama Parti Pejuang Tanah Air, atau Pejuang.

Berdasarkan beberapa gambar yang dilihat Malaysiakini, Osman dipaparkan bersama Mahathir, anaknya Mukhriz dan setiausaha politik Mahathir, Abu Bakar Yahya dalam beberapa pertemuan pada sekitar Julai lalu.

Ini termasuk beberapa perjumpaan tertutup antara Mahathir dengan akar umbi Bersatu Perak di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, di mana bekas ketua parti itu bercakap mengenai hal ehwal politik semasa termasuk sebab beliau meletak jawatan sebagai perdana menteri.

Perkara ini disahkan oleh Abu Bakar, yang dilihat duduk bersebelahan dengan Osman dalam foto tersebut.

“Gambar tersebut … kami sedang dengar taklimat Tun (Mahathir) kepada anggota Bersatu,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Foto lain, yang dikatakan telah diambil selepas program tersebut, turut menunjukkan Osman berdiri dekat dengan Mahathir.

Sumber-sumber juga menunjukkan beberapa gambar lain yang terdapat di laman Facebook “Mukhriz Mahathir Fan Club,” menunjukkan Osman bersama Mukhriz dan beberapa yang lain di rumah Osman di Johor pada pertengahan Julai ketika Bersatu Blackout mengadakan siri jelajahnya ke negeri itu.

Perkara ini disahkan oleh sumber yang rapat dengan bekas menteri besar Kedah itu hari ini.

“Foto-foto ini diambil di rumah Datuk Osman,” kata individu yang enggan namanya didedahkan itu.

Osman ketika dihubungi bagi meminta penjelasannya mengenai kehadiran di acara Bersatu Blackout berkata tidak ada yang luar biasa baginya untuk kelihatan di majlis sedemikian.

“Tak ada apa-apa. Sebagai orang politik, itu perkara biasa. Orang masih ingat saya dan ditakuti pengaruh saya,” katanya kepada Malaysiakini, tetapi tidak mengulas lebih lanjut mengenai maksudnya.

Minggu lalu, spekulasi mengenai Osman muncul apabila beliau dilihat bersama pasukan Pejuang berkempen dalam PRK Slim.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/540801

COMMENTS

Wordpress (0)