Hak pemilikan tanah dan juga kawasan pelantar pesisir bukan perkara yang kita akan kompromi, ulang Abang Jo berkait MA63

Hak pemilikan tanah dan juga kawasan pelantar pesisir bukan perkara yang kita akan kompromi, ulang Abang Jo berkait MA63.

Hak Sarawak terhadap kuasa pemilikan tanah, pelantar pesisir dan kuasa autonomi imigresen yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) antara perkara yang tidak boleh dibuat rundingan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak tidak akan berkompromi terhadap perkara berkenaan malah ia akan terus dipertahankan.

Menurutnya, Kerajaan Sarawak berusaha membangunkan negeri ini serta berharap hak Sarawak dalam MA63 diberikan semula selepas Sarawak mencapai kemerdekaan yang ke-60 tahun.

“Ada perkara (dalam MA63) yang tidak boleh dibuat rundingan antaranya hak pemilikan tanah dan juga kawasan pelantar pesisir.

“Ia adalah hak negeri Sarawak yang tidak boleh dirunding dengan orang lain.

Selain itu, ialah kuasa imigresen, di mana kerajaan juga akan terus pertahankan kuasa autonomi ke atas imigresen selain pertahankan kawasan sempadan negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan amanat pada Majlis Sambutan Ambang Tahun Baharu 2023, di Stadium Perpaduan, di sini pada Sabtu.

“Kita mempunyai perancangan pada 2023 di mana pada tahun itu, kita (Sarawak) mendapat satu era di mana Sarawak bersama negeri lain menubuhkan Malaysia.

Dalam pada itu, mengimbau usaha Kerajaan Sarawak pada 2022, pelbagai langkah dan tindakan yang dilaksanakan bagi meningkatkan pendapatan Sarawak.

Jelas Abang Johari, antaranya ialah penubuhan dana kekayaan berdaulat serta tindakan untuk bergerak ke arah ekonomi hijau.

“Pada tahun 2025, Sarawak akan mengeluarkan 100 tan hidrogen untuk dibekalkan kepada pembeli dari luar negara,” jelasnya.

Katanya lagi, antara kemudahan yang diberi perhatian pada 2022 ialah kemudahan asas seperti jalan raya, air dan bekalan elektrik terus ditingkatkan.

Hadir sama Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Kerja Raya Malaysia, Dato Sri Alexander Nanta Linggi serta tetamu kehormat yang lain.

BACA JUGA:

Parasit pemakan otak bukan lagi sekadar movie, kini di dunia nyata, ikuti nasihat KKM

Adik Norman, Lily dan Izz benar-benar bawa nama negara ke antarabangsa

“Maknanya mereka bertanding atas tiket Bebas”, – Peguam