Hakisan pantai rosakkan pondok dan jeti, peniaga ikan celup tepung alami kerugian RM100,000

Hakisan pantai rosakkan pondok dan jeti, peniaga ikan celup tepung alami kerugian RM100,000.

Seorang pemilik kedai makan ikan celup tepung di Kampung Penarik di sini, mengalami kerugian hampir RM100,000 setelah hakisan pantai merosakkan pondok dan jeti di premisnya, baru-baru ini.

Pengurus kedai makan itu, Muhammad Aiman Sauti, 22, berkata, kejadian Jumaat lalu itu turut memusnahkan benteng konkrit penghadang ombak sepanjang 50 meter yang dibina sejak 2016.

Katanya, lebih mengejutkan apabila kejadian hakisan dan fenomena air pasang besar tersebut berlaku ketika kira-kira 200 pelanggan sedang menjamu selera di premis terbabit pada pukul 5 petang.

“Ombak besar yang mengakibatkan hakisan sebelum pondok serta jeti roboh dalam masa dua jam. Pada 2019, kami membina dua wakaf atau pondok dan sebuah jeti dengan kos RM50,000 untuk menjadi tarikan pelanggan serta pelancong ke premis ini.

“Benteng konkrit yang dibina berjumlah RM40,000 turut roboh dan ini kejadian kali pertama melanda sejak kedai makan beroperasi, tujuh tahun lalu,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurut Muhammad Aiman, lebih 15 kedai makan ikan celup tepung di Pantai Penarik yang juga lokasi tumpuan pelancong mengalami ancaman hakisan pantai tahun ini.

“Kami merancang untuk membina dan membaiki benteng penghadang ombak sebaik sahaja musim Monsun Timur Laut berakhir selain mendirikan semula pondok atau wakaf menghadap pantai.

“Itu sebenarnya menarik minat pelanggan selain singgah makan di kedai ini, mereka dapat menikmati pemandangan cantik menghadap pantai terutama ketika cuaca cerah,” tambahnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd. Kadir ketika dihubungi berkata, beliau telah mengambil maklum kejadian yang menimpa peniaga terbabit.

BACA JUGA :

Setiausaha Akhbar Rafizi, pembantu Young Sefura dipanggil untuk beri keterangan kepada polis

Lee Zii Jia mulakan kempen Kejohanan Masters Indonesia dengan kemenangan

YDPA berkenan menerima menghadap bekas PM Ismail Sabri

COMMENTS

Wordpress (0)