Hasnul, berhentilah jadi perisai Peja

Merujuk kepada isu melantik syarikat pengurusan sampah dan sisa pepejal dari Selangor untuk melaksanakan kerja-kerja berkaitan di Perak, saya menasihatkan Hasnul Zulkarnain supaya berhenti untuk terus dipergunakan sebagai perisai Ahmad Faizal Azumu.

Dakwaan yang dibuat dengan mengatakan keputusan pelantikan tersebut turut disertai oleh Exco daripada Pakatan Harapan ketika PH memerintah adalah dakwaan sama yang diberikan semasa keputusan melantik Puncak Emas dalam isu kontrak Marris di negeri Perak dahulu. Hakikatnya, keputusan itu tidak dibuat secara telus dan kolektif.

Apa hujahnya? Syarikat ini berpengalaman, mempunyai kekuatan kewangan yang diperlukan dan mempunyai rekod yang baik kononnya. Tetapi setelah dilantik tanpa melalui proses tapisan yang betul, tanpa melalui sistem tender terbuka seperti yang diamalkan oleh beberapa negeri lain di bawah PH pada ketika itu, Puncak Emas telah mendatangkan banyak masalah dari segi kerja-kerja yang sepatutnya diselesaikan.

Mengapa ini berlaku? Kerana proses penganugerahan tender yang tidak melalui proses semak imbang yang sewajarnya dan hanya semata-mata melihat kepada apa yang dibentangkan kepada Peja.

Kesilapan ini adalah pengajaran yang sepatutnya diambil iktibar dan perlu untuk disemak semula.

Secara jelas lantikan dibuat tidak melalui tender terbuka, tergesa-gesa dan dibuat dengan memanipulasi fakta seperti yang dijelaskan oleh Ketua Pembangkang, YB Dr Abdul Aziz Bari.

Saya bersimpati dengan nasib Hasnul kerana terpaksa menjadi ‘pak turut’ dan khadam Peja dari dahulu sampai sekarang. Mempertahan dan merayu diberi kedudukan dalam kerajaan tetapi tidak dipandang oleh Peja. Kini cuba sekali lagi muncul untuk menarik perhatian Menteri Besar setelah dikatakan tersilap langkah menyeberang tanpa berfikir panjang.

Kepada rakyat negeri Perak, penilaian kepada prestasi Menteri Besar harus diteliti dan dikritik dengan lebih tajam. Ternyata seteru Tun Mahathir ini begitu licik dalam mengaut laba politik dengan imej yang dilakonkan di khalayak.

Saya yakin ramai yang tahu apa masalah Puncak Emas yang dipertahan Hasnul dan Peja sebelum ini. Dan jangan kita biarkan perkara sama berulang dalam isu pelantikan syarikat pengurusan sampah dan sisa pepejal pada kali ini.

Kita minta kerajaan negeri tumpukan kepada pelan pemulihan ekonomi negeri. Bukan membazir duit rakyat dengan pembelian kereta mewah dan menganugerah tender secara semberono tanpa melihat kesan kepada pekerja-pekerja dan kualiti perkhidmatan kepada rakyat.

-DR RAZAM-

COMMENTS

Wordpress (0)