Hasrat Pas tanding 6 kerusi parlimen T’ganu mungkin tak kesampaian

Meskipun sebelum ini Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar berkata parti itu akan mempertahankan enam kerusi yang dimiliki PAS di Terengganu, namun selepas pertemuan bersama pimpinan Perikatan Nasional, beliau seolah-olah memberi isyarat bahawa ia akan dipertimbangkan semula.

Menurut Menteri Besar Terengganu itu, ini memandangkan Umno dan Bersatu mempunyai senarai harapan (wishlist) untuk kerusi yang bakal dipertandingkan bagi pilihan raya umum ke-15 nanti.

Dalam satu sidang media di Marang, Terengganu beliau menjawab berhubung perkembangan terkini tentang pertemuan bersama pimpinan PN baru-baru ini.

Pertemuan itu turut dihadiri oleh beberapa pimpinan PAS seperti Takiyuddin Hassan, Mohd Khairuddin Aman Razali, wakil dari Umno Ismail Sabri Yaakob dan wakil Bersatu Hamzah Zainuddin.

Beliau menjelaskan bahawa pertemuan yang membincangkan isu pengagihan kerusi itu masih di peringkat permulaan dan akan diteruskan dalam beberapa siri pertemuan lain.

Sebelum ini beliau menegaskan bahawa keenam-enam kerusi parlimen yang dipegang PAS Terengganu buat masa ini, akan dipertahankan dengan sesungguh-sungguhnya.

“Saya memberikan komitmen, dalam konteks Terengganu kita ini, enam kerusi parlimen itu kita akan kekalkan dan pertahankan dengan sesungguh-sungguhnya,” katanya.

Menurutnya, soal agihan kerusi dalam PRU15 nanti akan menjadi medan untuk ahli PAS membuktikan konsep walak dan tsiqah kepada kepemimpinan PAS.

Kerusi tersebut merupakan Setiu, Kuala Nerus, Marang, Kuala Terengganu, Dungun dan Kemaman.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/535658