Ibrahim Ali persoal niat pemimpin UMNO desak adakan PRU

Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Ibrahim Ali mempersoalkan niat pemimpin Umno yang menurutnya kuat mendesak agar pilihan raya umum diadakan.

“Sejumlah pemimpin kanan Umno sudah bersuara agar PRU ke-15 segera diadakan walaupun ancaman Covid-19 belum pulih sepenuhnya.

“Persoalannya apakah sebab dan nawaitu Umno agar pilihan raya diadakan?”soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Ibrahim mendakwa pada masa ini memang kedengaran rasa tidak puas hati di kalangan pemimpin Umno terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin antaranya berkenaan lantikan untuk jawatan-jawatan penting.

“Jadi Umno tidak puas hati kerana jawatan atau mahu membela rakyat sebab dasar perdana menteri lemah dan gagal membela rakyat? Nawaitu kena betul kerana rakyat bukan lagi bodoh.

“Atau lagi cepat PRU15, ada peluang untuk sesetengah pihak dalam Umno dapat peluang bertanding.

“Semuanya menjadi tanda tanya atau niat tersirat kerana tanggapan kononnya Umno bersama-sama PAS dalam Muafakat Nasional akan menang besar seperti dulu. Benarkah?” kata ahli politik veteran itu lagi dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan Ibrahim itu hadir selepas Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan menggesa Muhyiddin mengikut jejak Singapura dengan membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU, atas dasar mengembalikan kestabilan politik negara.

Mohamad berkata, Malaysia tidak pernah berada dalam kedudukan politik yang sangat tidak stabil seperti hari ini sejak negara mencapai kemerdekaan, dan pilihan raya dapat memastikan kerajaan yang memerintah mempunyai mandat yang baik dan diyakini.

Mengulas lanjut, Ibrahim berkata PRU ke-15 lebih awal tidak membawa sebarang manfaat jika ia hanya berakhir tanpa mana-mana pihak mendapat majoriti jelas, seperti yang dihadapi pentadbiran Muhyiddin kini.

Tambahan pula, katanya, ia akan menelan belanja yang begitu besar di saat negara masih menghadapi kesan penularan wabak Covid-19, semata-mata untuk memilih wakil rakyat yang menurutnya akan mengubah sokongan jika tiada pihak yang menang dengan majoriti selesa.

“Mungkin inilah masa bertenang dan langkah pembetulan. Masa untuk langkah pembetulan (correction measures) melalui Ordinan Darurat utk tempuh dua ke tiga tahun untuk menyelesai masalah-masalah rumit,” sarannya.

Di sebalik cakap-cakap mengenai pembubaran Parlimen, Setiausaha Agung BN Annuar Musa berkata isu tersebut tidak berbangkit buat masa ini dan Umno tidak pernah membincangkan perkara itu.

“Kita sudah ada kerajaan dan tak timbul soal ketidakstabilan. Saya tengok kerajaan kini adalah mantap.

“Kita ulangi sokongan pada Perdana Menteri sebagai loose coalition dalam Perikatan Nasional. Itu pendirian rasmi boleh saya sebut sebagai Setiausaha Agung BN dan itu jugalah pendirian kita buat dalam Mesyuarat Nasional di mana saya bertindak sebagai Setiausaha Agung,” katanya.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/531894

COMMENTS

Wordpress (0)