Kes pembuangan bayi kerap kali kita dengar berlaku di sekeliling kita. Perbuatan tidak bertanggungjawab ini dianggap sebagai perbuatan keji kerana membiarkan bayi yang tidak bersalah menjadi mangsa.
Baru-baru ini, tular sebuah rakaman yang berjaya dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan seorang wanita membuang bungkusan yang didakwa mengandungi bayi lelaki di dalamnya.
Kejadian berlaku di Thailand apabila seorang wanita menunggang motosikal bersama seorang budak lelaki yang dipercayai anaknya berhenti di kawasan pembuangan sampah.
Setelah memerhati sekelilingnya, wanita berkenaan bertindak membuang bayi tersebut berhampiran tong sampah besar, lantas beredar dari situ dengan motosikalnya.
Menurut saksi, bayi tersebut dibiarkan dalam keadaan panas sebelum seorang lelaki datang untuk memungut sampah dan terkejut dengan bungkusan bayi. Bayi tersebut dilihat masih mempunyai tali pusat yang dibalut dengan kain tuala sebelum dibuang ke kawasan berkenaan.
Bayi itu telah dibawa ke Hospital Sampran setelah pihak polis dan penyelamat dihubungi.
Setelah disiasat menerusi rakaman CCTV tersebut, pihak polis berjaya menemukan wanita tersebut. Setelah disoal, wanita tersebut mengakui akan perbuatannya yang tidak mampu untuk menampung biaya kos sara hidup. Dia sudah mempunyai empat orang anak dan bayi yang dibuang itu merupakan bayi yang kelima.
“Suami saya merupakan seorang pemandu di wilayah lain. Dia hanya memperoleh 10,000 baht sebulan dan jumlah itu tidak cukup untuk menampung keluarga kami.
“Saya melahirkan dia di tandas dan terpaksa memotong tali pusat sebelum meninggalkannya di daerah Sampran.
“Saya tidak bermaksud membunuhnya. Saya meninggalkan dia di sana dan berharap seseorang akan menemui dan menjaganya.
“Saya bimbang seseorang akan melihat saya jadi saya pergi dengan cepat. Saya menyesal dengan apa yang saya lakukan.”
Baca juga: Ubah baju anak jadi selimut, jangan membazir buang yang lama