“Ingat ada orang sihirkan saya” – Black buang ketumbuhan dalam anak tekak

Penyanyi bervokal tinggi, Black Hanifah mendedahkan bahawa dia terpaksa berehat daripada karier nyanyiannya sebelum ini akibat sakit yang dialami.

Ketika ditemui OhBulan! Black atau nama sebenarnya Hanifah Muhammad Hanafiah memaklumkan dia mengalami masalah dibahagian anak tekak dan dinasihatkan oleh pakar perubatan untuk melakukan pembedahan.

Saya baru sahaja selesai buat pembedahan, ramai yang tak tahu. Saya baru boleh menyanyi, sebelum ini setahun saya tak boleh menyanyi dan tak boleh bercakap dengan baik disebabkan masalah ‘polyp’ yang berada di anak tekak.

"Ingat ada orang sihirkan saya" - Black buang ketumbuhan dalam anak tekak

Saya terpaksa buat pembedahan, selepas itu selama tiga bulan saya tak dapat menyanyi.

Ia adalah ketumbuhan yang berada di anak tekak dan menurut doktor kebanyakkan penyanyi yang bersuara tinggi, bergenre rock, pensyarah, guru dan mereka yang banyak bercakap akan mudah terkena masalah ini.

Ianya tak sakit tapi saya sukar untuk bercakap. Bila bercakap suara saya akan putus-putus dan saya langsung tak boleh menyanyi hingga menyebabkan saya berasa ‘down’ dan sedih.

Saya betul-betul sedar tentang penyakit ini empat bulan lepas selepas buat pemeriksaan bersama doktor dan pakar.

Pelantun lagu Sofea Jane itu berkata, sebelum mengetahui tentang penyakit tersebut, dia pernah terfikir bahawa sakit yang dialami berkemungkinan berpunca daripada perbuatan syirik dan telah pun mendapatkan rawatan alternatif.

Saya rasa ibarat mati hidup semula, saya ingat mula-mula saya kena sihir dan ada pergi mendapatkan rawatan tradisional tapi tak ada apa-apa.

Bila berjumpa dengan guru vokal saya mereka cadangkan untuk mendapatkan rawatan.

Saya rasa disihir sebab saya tak ada rasa sakit ditekak tapi saya tak boleh bercakap dengan baik dan tak boleh menyanyi langsung. Itu menyebabkan saya risau.

Difahamkan sakit yang dialami oleh penyanyi berusia 37 tahun itu adalah berpunca daripada masalah gastrik dan gerd (gastroesophageal reflux disease) yang teruk.

Sebelum itu saya ada buat pemeriksaan biasa, tapi makin hari makin teruk rupanya cara saya makan salah, cara lontaran vokal pun salah dan selepas sedar ianya bukan sihir saya berjumpa pakar.

Suara saya bermasalah bermula ketika pandemik Covid-19 iaitu pada tahun 2020. Saya ada gastrik dan gerd yang teruk sehingga keluarkan asid ke tekak lalu menyebabkan ‘polyp’.

Black berkata demikian semasa ditemui pada majlis perasmian sambutan ulang tahun Bandaraya Petaling Jaya ke-18 yang berlangsung di Laman MBPJ, Selangor pada Sabtu.
Ucap rasa syukur

Akibat masalah vokal yang teruk, bapa kepada dua orang anak ini mengakui bahawa dia berasa sedih apabila terpaksa menolak tawaran menyanyi.

Sebulan sebelum pembedahan, saya dapat banyak tawaran untuk saya menyanyi secara langsung. Sedih untuk saya katakan tak boleh kepada mereka.

Jadi saya minta isteri beritahu mereka yang kita dah ada show, walhal tak ada show pun. Saya merahsiakan sebab tak mahu banyak pihak bimbang dengan keadaan saya dan saya risau mungkin akan timbul pelbagai spekulasi.

Dalam nada sebak, Black juga berkata dia amat terkesan dengan penyakit yang dialami dan berasa bersyukur setelah sembuh. Dia juga amat menghargai isteri dan anak-anaknya yang sentiasa menyokong walaupun berada difasa yang sukar.

Alhamdulillah saya dah boleh menyanyi seperti umur saya 20 tahun yang lepas. Selepas pembedahan saya tak boleh bercakap langsung selama lima hari.

Lima hari selepas pembedahan saya tak boleh bercakap kerana takut bekas pembedahan itu meninggalkan parut dan takut tak dapat menyanyi macam dulu.

Bila mereka dengar saya boleh menyanyi, mereka sangat gembira. Selama 37 tahun saya tak pernah hilang suara, saya rasa tuhan tarik sekejap nikmat itu.

Baca :  Pemain Badminton China meninggal dunia ketika perlawanan