Ingatkan scammer rupanya betul dia menang kereta

Seorang pesara guru mendapat kejutan apabila menerima panggilan telefon yang pada awalnya dianggap scam, ternyata merupakan notifikasi mengenai kemenangannya sebagai pemenang sebuah kereta Perodua Bezza.

Mohamad Safiai Gafar, 67 tahun, menerima hadiah utama melalui Kempen Cabutan Bertuah Kepada Pembayar Secara Dalam Talian Dengan Bayaran Penuh Cukai Taksiran Sehingga 30 Jun 2024 yang dianjurkan oleh Majlis Bandaraya Seremban (MBS).

“Pada mulanya, saya menganggap panggilan itu daripada scammer, jadi saya tidak menjawab. Tetapi apabila nombor yang sama terus menelefon, saya menjawab dan baru saya dimaklumkan oleh pihak MBS bahawa saya adalah pemenang.

Ingatkan scammer rupanya betul dia menang kereta

“Saya sungguh terkejut kerana ini merupakan kali pertama saya membayar cukai taksiran secara dalam talian. Walaupun saya tahu tentang kemudahan pembayaran dalam talian, saya tidak mengetahui tentang pertandingan cabutan bertuah ini.

“Saya sangat gembira dan bersyukur. Kereta baharu ini akan saya gunakan untuk urusan harian, termasuk membawa keluarga berjalan-jalan, kerana kereta Perodua Kelisa yang saya miliki sekarang sudah lama,” katanya.

Beliau dijumpai selepas majlis penyampaian hadiah kempen tersebut yang diadakan di Wisma MBS hari ini.

Sementara itu, Datuk Bandar MBS, Datuk Masri Razali, menyatakan bahawa program cabutan bertuah ini diadakan setiap tahun untuk memberi galakan dan penghargaan kepada warga bandar raya Seremban yang menjelaskan cukai taksiran secara dalam talian.

“MBS telah menerima 23,291 penyertaan dengan jumlah bayaran sebanyak RM8.56juta. Kempen ini diadakan khas untuk semua pemilik harta di kawasan pentadbiran MBS sebagai insentif dan dorongan untuk membayar cukai secara dalam talian serta menyelesaikan tunggakan dengan segera,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan warga bandar raya Seremban untuk membayar cukai taksiran tepat pada waktunya untuk mengelakkan denda.

“Cukai taksiran yang dikenakan tidaklah bertujuan untuk menyusahkan pihak mana-mana, sebaliknya dana tersebut akan dikembalikan kepada pembayar cukai melalui perkhidmatan seperti pembinaan dan pembaikan infrastruktur, serta penyediaan kemudahan awam,” katanya.

Baca Juga : Cekal sungguh sanggup berebut, Ernie dan Syamel akhirnya dapat juga kek tapak kuda