Kehadiran polis trafik di jalan raya bertujuan untuk membantu menguruskan aliran kenderaan, terutamanya semasa kesesakan lalu lintas pada waktu sibuk, situasi kecemasan, atau untuk memberi laluan kepada konvoi orang kenamaan.
Apabila anda melihat atau bertemu dengan anggota polis trafik, mereka sering melambai-lambai tangan sebagai isyarat kepada pemandu.
Namun, isyarat ini bukan sekadar meminta anda bergerak ke tepi jalan, malah ia mempunyai makna tersendiri yang sering terlepas pandang.
Mari kita terokai maksud di sebalik isyarat-isyarat tersebut, seperti yang dikongsi oleh Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik PDRM dan Motorsports Malaysia melalui saluran media sosial mereka.
Isyarat untuk memperlahankan kenderaan.
1) Lambaian tangan dari atas ke bawah
Anggota polis trafik menggunakan isyarat tangan ini untuk meminta pengguna jalan memperlahankan kenderaan bagi memberi laluan kepada kenderaan yang diiringi. Selepas anda mematuhi isyarat tersebut, mereka biasanya akan menunjukkan isyarat ibu jari bagus sebagai tanda terima kasih.
Isyarat untuk kenderaan bergerak ke kiri atau kanan.
2) Pergerakan tangan dari depan ke belakang
Apabila anggota polis trafik menggerakkan tangan dari depan ke belakang pada paras dada, ini bermaksud mereka sedang memberi arahan agar kenderaan merapat ke kiri atau kanan jalan untuk membuka laluan kepada kenderaan yang diiringi.
Isyarat untuk kenderaan berhenti seketika.
3) Angkat tangan
Apabila anggota polis trafik mengangkat tangan, mereka biasanya akan menunjukkan jari telunjuk dan kemudian mengangkat tangan untuk meminta pengguna jalan raya memberhentikan kenderaan.
Isyarat ini sering digunakan di persimpangan lampu isyarat untuk memberi laluan kepada kenderaan yang diiringi untuk melintas terlebih dahulu.