Pasangan selebriti popular, Neelofa dan PU Riz masih selesa tidak berkongsi wajah anak kedua, Abdullah Abbas yang kini berusia setahun secara terang-terangan dalam media sosial.
Neelofa atau nama sebenar, Noor Neelofa Mohd Noor berkata, dia sangat selesa dan lebih gemar wajah anak-anaknya, Muhammad Bilal dan Abdullah Abbas tidak terlalu menonjol.
“Saya lebih selesa tak tunjuk dan sukakan begitu. Macam Muhammad Bilal, orang sudah tengok, tapi saya tetap ‘blur’ wajahnya,” katanya ringkas.
Tambah Neelofa, dia lebih gemar menghabiskan masa di rumah bersama anak-anaknya.
“Suami suka anak-anak menjamah makanan dibuat di rumah sendiri, jadi saya elak beri makanan diproses. Saya buat sendiri di rumah.
“Saya suka memasak, tapi tidaklah memasak setiap hari. Alhamdulillah, ada sebab yang baik untuk bangun pagi, buat sarapan.
“Saya pun ada cakap pada suami, saya mahu luangkan masa di rumah sebab ia adalah ‘dream job’ saya nak jadi suri rumah dan ibu sepenuh masa untuk anak-anak.
“Seperti bisnes Nunha ini pun kami sedang mencari orang boleh ambil alih bahagian saya. Sebab saya nak duduk di rumah sahaja. Saya seorang ibu yang ‘hands on’. Walaupun ada pembantu, tapi saya tetap mandikan anak, memasak dan sebagainya,” katanya kepada BH Online.
Berbicara soal karier seni, pengacara Next To Neelofa itu berkata, buat masa ini, mahu fokus membesarkan anak-anaknya memandangkan masih kecil.
“Projek terakhir adalah Next To Neelofa untuk Ramadan lalu, selain itu tiada. Tawaran ada tapi kalau berlakon tidaklah.
“Bukanlah bermaksud saya nak bersara, tapi mahu lebih masa di rumah. Namun, saya tak kisah buat sesuatu sekali sekala untuk industri hiburan.
“Mungkin anak-anak sudah besar saya boleh susun dengan cara berbeza,” katanya.
Sementara itu, PU Riz atau nama sebenarnya, Muhammad Haris Mohd Ismail berkata, mereka tidak menghalang orang ramai melihat wajah anak-anaknya, malah sudah ramai yang melihat mereka.
“Cepat masa berlalu, Abdullah Abbas sudah berusia setahun. Macam mana pun kami akan hantar ke sekolah.
“Sekarang pun sudah ramai orang melihat Abdullah Abbas, cuma kami tak nak tonjolkanya,” katanya ketika ditemui pada majlis pembukaan Nunha Store di MyTown, di sini, baru-baru ini.
Berkongsi mengenai perkembangan Abdullah Abbas, PU Riz berkata, dia dan Neelofa kini sedang menikmati masa bersama anak-anak.
“Sebagai bapa, menjaga anak bukan sekadar hantar pergi sekolah dan ajar mengaji, tapi banyak lagi perkara yang kena ketahui.
“Misalnya ‘milestones’ anak, apa yang anak boleh buat dan kami belajar lebih banyak mengenai kehidupan anak-anak kecil. Saya rasa ibu bapa lain pun tahu dan suka luangkan masa melihat tumbesaran anak,” katanya.
Neelofa dan PU Riz mendirikan rumah tangga pada 27 Mac 2021. Mereka dikurniakan Muhammad Bilal, 2, dan Abdullah Abbas, 1.
Baca : Jangan pergi KL sabtu ini, banyak jalan tutup sebab upacara ini