Ini antara 4 sebab dipercayai punca Penjawat Awam terima rasuah – Kajian

Ini antara 4 sebab dipercayai punca Penjawat Awam terima rasuah – Kajian

Gejala rasuah adalah barah yang agak sukar untuk dicegah dan ditangani, lebih-lebih lagi apabila melibatkan pihak yang berautoriti. Perbuatannya sangat sukar dilihat kerana rata-rata mereka dipercayai menggunakan pelbagai taktik untuk melakukannya.

Menyentuh tentang rasuah, secara umumnya ia adalah satu perbuatan sama ada memberi atau menerima sesuatu suapan berbentuk wang tunai atau barangan berharga sebagai upah bagi melakukan sesuatu yang mempunyai kaitan dengan bidang tugas seseorang itu.

 

Ini antara 4 sebab dipercayai punca Penjawat Awam terima rasuah- Kajian

Contoh mudah yang boleh digunakan; seorang kontraktor pembinaan memberi hadiah berupa jam tangan eksklusif kepada seorang pegawai penguatkuasaan kerajaan bagi meluluskan projek syarikatnya – yang sepatutnya perlu melalui prosedur tertentu terlebih dahulu.

Di Malaysia, agensi kerajaan yang berkuatkuasa ke atas jenayah rasuah adalah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Terdapat empat kesalahan rasuah yang utama di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 (Akta 694), iaitu;-

1. Meminta/menerima rasuah [Seksyen 16 & 17 (a) ASPRM 2009]
2. Memberi suapan [Seksyen 17 (b) ASPRM 2009]
3. Mengemukakan tuntutan palsu [Seksyen 18 ASPRM 2009]
4. Salah guna kuasa [Seksyen 23 ASPRM 2009]

Kenapa ada penjawat awam sanggup terima rasuah?

Berbalik kepada isu, mungkin ramai yang mempersoalkan, kenapa dan bagaimana boleh ada sesetengah penjawat awam yang sanggup menerima atau terlibat dengan pemberian rasuah? Adakah kerana faktor gaji yang kecil dan rendah hingga mereka terpaksa berbuat sedemikian?

SPRM hakikatnya pernah menjalankan kajian terhadap perlakuan rasuah dalam kalangan penjawat awam. Difahamkan, hasil kajian mendapati, faktor pendapatan atau penetapan tangga gaji yang kecil serta rendah bukanlah punca utama atau satu-satunya punca mengapa penjawat awam mengambil rasuah.

Sebaliknya menurut hasil kajian tersebut, di antara punca yang utama yang dipercayai menyebabkan berlakunya gejala rasuah dalam kalangan penjawat awam adalah kerana kecenderungan mereka untuk:-

1. Mempunyai gaya hidup di luar kemampuan yang sepatutnya.
2. Sikap tamak dan haloba yang menguasai diri.
3. Wujudnya ruang dan peluang untuk melakukan perbuatan rasuah.
4. Memiliki tahap integriti yang rendah dalam kalangan pegawai terbabit.

Apakah bentuk hukuman kepada pesalah rasuah?

Merujuk SPRM, hukuman bagi pelaku kesalahan rasuah adalah dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Sebagai contoh, jika Ali (bukan nama sebenar) menerima rasuah sebanyak RM5,000, maka hukumannya adalah dipenjara dan denda yang dikenakan adalah sebanyak RM25,000 (RM5,000 x 5).

Manakala jika Abu (bukan nama sebenar) menerima rasuah sebanyak RM1,000, maka hukumannya adalah dipenjara dan denda yang dikenakan adalah sebanyak RM10,000.

Kenapa RM10,000 dan bukan RM5,000? Hal ini adalah kerana RM1,000 x 5 hanya bersamaan RM5,000. Oleh itu, nilai yang diambil adalah RM10,000 iaitu nilai minimum bagi denda.

Berita Penuh : https://siakapkeli.my/2021/09/01/adakah-sebab-gaji-kecil-ini-4-punca-dipercayai-kenapa-ada-penjawat-awam-terima-rasuah-kajian/

BACA JUGA : [VIDEO] Tok Penghulu mengamuk, 2 beradik dikompaun RM8,000

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )