Apabila membuka laman sosial, pasti dapat dilihat banyak individu berkongsi mengenai kek tapak kuda, termasuk resipi, penjualan, dan pilihan kudapan untuk minum petang.
Kuih yang asalnya dari Brunei ini semakin popular di kalangan rakyat Malaysia, terutamanya di kalangan peminat coklat, disebabkan teksturnya yang lembut dan pelbagai jenis inti.
Permintaan yang tinggi daripada penggemar kuih ini mendorong peniaga untuk menyediakan pelbagai jenis kek tapak kuda, termasuk yang menggunakan keju.
Bagi mereka yang berminat untuk membuat sendiri, boleh mencuba resipi yang dikongsi oleh pengguna TikTok, Rosienunaa. Pastikan untuk mengikuti petua dan tips yang diberikan supaya kek kelihatan cantik dan lembut.
Salah satu petua yang diberikan adalah untuk memotong kek tapak mengikut saiz yang sama agar kelihatan lebih menarik.
Berikut adalah resipi yang dikongsi oleh Rosienunaa:
Bahan-bahan:
– 3 biji telur
– 2 biji kuning telur
– 1/2 cawan gula halus
– 1/3 cawan tepung naik sendiri
– 1 sudu besar ovalet
– 1 sudu kecil esen vanila
– 1/3 cawan butter cair
Cara penyediaan:
1. Campurkan telur, gula halus, tepung naik sendiri, ovalet, dan esen vanila.
2. Adun kesemua bahan sehingga sebati dan kembang.
3. Tambahkan butter cair.
4. Kaup balik sehingga adunan sebati.
5. Bahagikan adunan untuk dua bekas, 1/3 daripadanya dicampur coklat emulco dan dituang ke dalam loyang sehingga rata.
6. Kemudian masukkan lebihan adunan di bahagian atas.
7. Panaskan oven dan bakar pada suhu 170 celcius selama 25 minit.
8. Tunggu kek sejuk sebelum meletakkan isian dan membungkus dengan plastik.
Untuk bahagian isian, anda bebas memilih perisa mengikut kreativiti dan selera. Setelah beberapa minit, kek tapak kuda siap untuk dipotong dan dinikmati bersama keluarga.
Kuih yang gebu dan cantik ini tidak hanya disukai oleh kanak-kanak, malah orang dewasa juga pasti akan menikmatinya. Selamat mencuba!
Baca Juga : Ni jual anak ke, hantaran kahwin jejak sampai lebih 1 billion