Pada zaman ini, kita semakin digalakkan untuk menggunakan kenderaan elektrik bagi memastikan kesan pelepasan dari bahan bakar dapat dikurangkan.
Bukan itu sahaja, galakan ini dapat mengurangkan kebergantungan terhadap sumber tenaga yang tidak dapat diperbaharui seperti bahan api fosil.
Sungguhpun begitu, rata-rata pengguna mengalami sedikit kesukaran untuk menukar kenderaan sedia ada, khususnya bagi kereta.
Secara lazimnya, harga kereta elektrik masih berada pada paras yang agak tinggi jika dibandingkan dengan kereta yang mengggunakan bahan bakar petrol.
Selain itu, pengguna yang sering menempuh perjalanan yang agak jauh mungkin keberatan untuk menukar kereta mereka kepada jenis elektrik.
Hal ini kerana, tidak semua tempat menawarkan tempat pengecasan kereta elektrik, lagi-lagi di kawasan terpencil dan di kawasan pendalaman.
Namun, jika anda menggunakan motosikal untuk kegunaan harian di bandar, anda boleh menukarnya kepada jenis elektrik tanpa sebarang masalah.
Bagi menggalakkan rakyat Malaysia untuk beralih kepada kenderaan yang lebih bersifat hijau, kerajaan telah memberikan fokus terhadap motosikal elektrik terlebih dahulu.
Pengguna motosikal yang berminat untuk menjalani gaya hidup yang lebih hijau dan mesra alam, bolehlah memohon Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik (MARiiCas).
Kredit: Marii
Skim ini adalah skim rebat pembelian atau langganan motosikal elektrik oleh Institut Automotif Robotik Dan IoT Malaysia (MARii) di bawah Belanjawan 2024.
Tujuan skim ini diperkenalkan adalah untuk memberikan galakan kepada rakyat agar beralih kepada kenderaan berasaskan elektrik.
Menerusi laman portal Manfaat, skim rebat ini akan ditawarkan melalui dua kaedah pemberian, iaitu:
1. Pemberian subsidi secara rebat tunai sebanyak RM2,400 untuk pembelian motosikal elektrik; ATAU
2. Pemberian subsidi secara rebat tunai sebanyak RM200 sebulan selama 12 bulan untuk permohonan langganan motosikal elektrik.
Untuk makluman, tempoh permohonan MARiiCas telahpun dibuka bermula 8 Disember 2023 sehingga 31 Disember 2024. Namun begitu, jumlah permohonan adalah terhad berdasarkan kuantiti motosikal elektrik yang telah ditebus.
Jika jumlah tebusan motosikal elektrik sudah habis ditebus, maka secara automatik permohonan akan tamat, walaupun sebelum tarikh akhir permohonan.
Dengan erti kata lain, jika anda berminat untuk memohon skim ini, anda perlu bertindak segera sebelum terlambat.
Syarat kelayakan untuk memohon MARiiCas
Berdasarkan perkongsian di laman portal Manfaat, hanya tiga perkara yang menjadi syarat kelayakan bagi MARiiCas.
Pertama, pemohon perlulah seorang individu yang memiliki pendapatan tahunan berjumlah RM120,000 ke bawah.
Pemohon juga perlulah merupakan seorang Warganegara Malaysia dan berumur 18 tahun dan ke atas.
Individu yang ingin mengemukakan permohonan juga perlu memiliki lesen memandu motosikal yang sah sama ada, Kategori B, B1 atau B2.
Bagaimanakah cara untuk memohon MARiiCas?
Jika anda memenuhi syarat-syarat kelayakan di atas, anda boleh mengemukakan permohonan untuk mendapatkan skim rebat ini.
Permohonan boleh dikemukakan secara dalam talian menerusi pautan https://insentif.marii.my/user/register.
Anda boleh mengikuti langkah-langkah di bawah:
Langkah pertama, lawati laman sesawang https://insentif.marii.my untuk membuat pendaftaran ID Pengguna.
Seterusnya, klik pada butang ‘Daftar’ bagi pengguna yang baru mengakses laman web permohonan buat pertama kali. Lengkapkan maklumat terkini pemohon seperti nama, nombor kad pengenalan dan maklumat diri.
Selepas itu, pengguna akan menerima emel verifikasi dalam peti masuk akaun emel anda. Bagi sesiapa yang tidak ternampak emel verifikasi pada peti masuk, anda boleh memeriksa pada bahagian ‘Spam’.
Apabila selesai proses pengesahan dan pendaftaran, anda perlu melog masuk ke dalam laman web yang sama untuk proses permohonan MARiiCas.
Ketika proses berkenaan, pemohon perlu memuat naik beberapa dokumen sokongan yang diperlukan untuk permohonan anda.
Untuk makluman, bayaran perkhidmatan dan pengesahan identiti pemohon sebanyak RM10 akan dikenakan bagi setiap permohonan. Bayaran perkhidmatan tidak akan dikembalikan dan nama pemohon perlulah sama dengan pemilik akaun pembayaran.
Setelah segala-galanya selesai, pengguna akan menerima emel pengesahan permohonan. Anda boleh menyemak keputusan dengan log masuk pautan https://insentif.marii.my dalam tempoh 14 HARI BEKERJA selepas tarikh permohonan lengkap dilakukan.
Dokumen sokongan yang diperlukan untuk memohon MARiiCas.
Bagi memudahkan proses permohonan secara atas talian, anda boleh menyediakan dokumen sokongan yang diminta terlebih dahulu.
Anda boleh mengemukakan salinan kad pengenalan dan lesen memandu motosikal yang sah sama ada kategori B, B1 atau B2.
Pemohon juga perlu mengemukakan salinan dokumen berkaitan dengan pendapatan tahunan, mengikut sektor-sektor di bawah:
1. Bagi yang bekerja, slip gaji perlu disahkan majikan beserta cop syarikat, ATAU borang EA, ATAU surat kelulusan Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
2. Bagi yang bekerja sendiri, anda perlu memuatnaik borang pengesahan pendapatan, ATAU surat kelulusan Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
3. Untuk pesara kerajaan, anda perlu mengemukakan slip pencen dan kad pesara, ATAU surat kelulusan Sumbangan Tunai Rahmah (STR). Pesara swasta pula perlu mengisi borang pengesahan pendapatan, ATAU surat kelulusan Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
4. Golongan pelajar pula, anda perlu mengemukakan Kad Pelajar dan memuat turun borang pengesahan pelajar, ATAU surat kelulusan Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
Seusai permohanan disemak dan diluluskan, anda akan menerima emel pengesahan dan boleh memuat turun kod QR untuk menikmati insentif yang ditawarkan bagi tujuan pembelian motosikal elektrik di bawah syarikat pengeluar yang mendapat pengesahan dari kerajaan.
Jelas Manfaat, kod QR tersebut sah untuk diguna pakai dalam tempoh 30 hari dari tarikh kod berkenaan dikeluarkan. Pemohon perlu melakukan permohonan semula untuk mendapatkan kod QR baru yang sah selepas tamat tempoh.
Jika anda ingin maklumat lanjut berkenaan proses pendaftaran, anda boleh melayari Laman Rasmi Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik (MARiiCas) atau emelkan kepada [email protected].
BACA: Bapa mengamuk guru potong rambut anaknya, “anak aku bukan bintang tau!”