Hutan merupakan antara kawasan semula jadi yang paling indah di dunia dan menjadi tempat tinggal beribu-ribu spesies tumbuhan serta haiwan.
Pada masa yang sama, hutan juga menyimpan seribu satu misteri yang kadang kala tidak dapat diterangkan secara logik. Di hutan juga, sering terjadi fenomena-fenomena unik yang menawarkan penjelasan yang menarik.
Misalnya seperti ‘misteri’ daun pokok yang bergerak atau bergoyang sendiri walaupun kelihatan tiada angin kuat di kawasan sekeliling.
Jika anda menjadi saksi situasi tersebut, sudah tentu anda juga tertanya-tanya dengan apa yang sedang dilihat oleh mata sendiri, kan?
Bagaimanapun, seiring arus pemodenan, pelbagai rahsia, fakta dan kejadian alam berjaya dibongkar satu per satu menerusi kajian-kajian saintifik yang dilakukan.
Influencer tampil beri penjelasan kenapa daun bergoyang sendiri walaupun macam tiada angin
Menerusi video yang dikongsikan oleh pengguna TikTok, @p.sharon.j, yang aktif berkongsi ilmu dan pengalaman berkaitan hutan belantara tampil memberi penjelasan mengenai perkara tersebut.
Menurut @p.sharon.j, sehelai daun tunggal yang kelihatan bergoyang-goyang sebenarnya bukanlah bergerak sendiri.
Namun, daun berkenaan bergerak kerana didorong oleh tiupan angin yang sangat lemah, sehingga tidak dapat dirasai oleh manusia atau menjejaskan daun-daun yang lain.
Oleh kerana itu, ramai yang menyangka daun tunggal tersebut bergoyang bukan kerana angin.
“Daun panjang yang tumbuh di cerun sentiasa bergoyang”
Bagi membuktikan perkara berkenaan, @p.sharon.j telah menghidupkan pemetik api berdekatan daun yang sedang bergoyang untuk mengetahui arah angin.
Kemudiannya, wanita tersebut menghalang angin dengan menggunakan tangannya dan menyebabkan daun itu serta-merta berhenti bergoyang. Namun apabila tangannya dialihkan, daun itu kembali bergerak.
Tambah @p.sharon.j lagi, kebanyakan daun yang bergoyang mempunyai bentuk bujur yang memanjang dan tumbuh secara rendang.
Biasanya, daun-daun tersebut mempunyai bentuk, kedudukan dan tumbuh pada sudut yang tepat untuk terperangkap dengan tiupan angin yang lemah.
Jangan panik atau berasa takut apabila melihat daun bergoyang
@p.sharon.j turut menasihati orang ramai agar tidak takut atau panik jika melihat daun yang bergoyang meskipun tidak merasai sebarang angin.
“Lain kali kalau nampak macam itu, jangan takut, jangan panik dan jangan fikir macam-macam terutamanya di dalam hutan sebab nanti kalau sudah takut boleh hilang pertimbangan.
“Dan bila sudah hilang pertimbangan, banyak perkara yang tidak baik boleh terjadi seterusnya,” katanya.
Kajian pernah dibuat oleh penyelidik bagi menjelaskan situasi berkenaan
Pada 2001, sekumpulan penyelidik daripada American Jounal of Botany terlibat melakukan kajian bagi merungkai misteri berkenaan.
Dalam kajian yang dibuat, mereka mendapati situasi sehelai daun yang bergerak berlaku kerana tiupan angin yang lemah yang tidak dapat dikesan oleh manusia, namun mampu meningkatkan hayunan sesetengah daun.
Daun tunggal yang bergerak-gerak itu terletak pada bahagian atau mempunyai bentuk sedikit unik yang membenarkannya mudah terperangkap dalam tiupan angin yang sangat lemah, seperti nafas manusia.
Angin lemah itu kemudian menolak daun ke satu arah, kemudian daun berpatah balik ke titik tengah sebelum terhayun ke satu lagi sisi.
Kemudian pergerakan daun itu diambil alih oleh momentum. Tiupan angin yang lemah dan tidak disedari manusia itu sebenarnya bertiup pada frekuensi resonan batang daun tersebut.