Jeffrey Epstein merupakan jutawan dan seorang penjenayah seks yang telah dijatuhkan hukuman. Epstein mencipta popularitinya melalui hubungannya dengan orang-orang tenama dan berpengaruh termasuk ahli politik, selebriti dan ahli perniagaan.
Pada tahun 2008, Epstein telah mengaku bersalah atas satu pertuduhan meminta pelacuran dari kanak-kanak bawah umur dan dihukum penjara selama 13 bulan.
Tak cukup dengan itu, Epstein juga telah menerima kecaman baru apabila dia telah ditangkap atas tuduhan pemerdagangan seks. Namun begitu, semasa menunggu masa untuk perbicaraan, Epstein dilaporkan meninggal dunia di dalam sel pada Ogos 2019 sehingga mencetuskan teori konspirasi dan penyiasatan mengenai kematiannya.
Selepas kematian jutawan ini, orang ramai masih bercakap mengenai kesnya yang dikatakan telah melibatkan ramai orang-orang ternama. Antara perkara yang sering dibincangkan termasuklah apa yang berlaku di sebuah pulau persendirian 70 ekar di Carribean milik Jeffrey Epstein.
Disebalik pulau Little St James milik Epstein
Tetamu-tetamu yang sering berkunjung ke pulau ini datang dari seluruh pelusuk dunia dan mempunyai status yang tinggi dalam masyarakat seperti selebriti, saintis dan keluarga diraja.
Menurut satu aduan jenayah dari peguam negara US Virgin Islands telah menggambarkan pulau ini sebagai:
Penyembunyian yang sempurna untuk memperdagangkan wanita muda dan bawah umur bagi memuaskan nafsu, membuat penderaan ke atas kanak-kanak dan penderaan seksual.”
Epstein dan rakan sekutunya boleh mengelak aktiviti-aktiviti haram mereka dari dikesan pihak berkuasa Virgin Islands dan menghalang mangsa-mangsa mereka dari melarikan diri.”
Pulau ini juga turut disebut dalam perbicaraan Ghislaine Maxwell pada Disember lalu di mana wanita ini telah didapati bersalah atas lima tuduhan pemerdagangan seks dan dijatuhkan hukuman penjara selama 20 tahun dan denda sebanyak US$750,000.
Kemudian pada Mei 2023, pulau ini telah dijual kepada salah seorang pelabur kaya dengan harga yang lebih murah dari tawaran asal dengan harapan ia dapat dijadikan sebagai tempat percutian mewah.
Sebelum Epstein didakwa pada tahun 2008, lelaki ini sering berkunjung ke Little St James dua atau tiga kali sebulan dan tinggal di sana untuk beberapa hari. Salah seorang bekas pekerjanya mengatakan bahawa ia seperti satu retreat untuk Epstein di mana dia akan berjalan di sekeliling pulau dengan seliparnya sambil mendengar muzik yang dimainkan dari pembesar suara dan terdapat wanita-wanita berbaring di pantai tanpa memakai baju.
Di pulau tersebut sentiasa ada wanita, dan biasanya wanita-wanita ini mempunyai perwatakan yang menarik dan ada juga yang sangat muda untuk melayan Epstein atau tetamu-tetamunya. Selain itu, di pulau ini juga terdapat seramai lebih kurang 70 pekerja yang terdiri daripada tukang kebun, penjaga rumah, dan kapten-kapten bot yang menerima arahan untuk tidak muncul di depan Epstein ketika sedang bekerja.
Mereka juga turut dilarang untuk masuk ke dalam dua pejabat Epstein di rumah agam utama di mana salah satu pejabat ini juga mengandungi peti besi yang dikawal rapat.
Pulau Little St James juga sering dikunjungi oleh orang-orang terkenal, antaranya ahli fizik Stephen Hawking, Lawrence Krauss, Chris Tucker, Les Wexner, Naomi Campbell, Lord Peter Mandelson dan Putera Andrew dari United Kingdom.
Terdapat juga dakwaan mengatakan bahawa Bill Clinton juga turut pernah menjadi tetamu di sana walaupun lelaki ini menafikannya. Manakala Donald Trump pula dilaporkan telah terbang beberapa kali menggunakan jet peribadi Epstein.
David Copperfield, ahli silap mata terkenal pula dikatakan telah melamar supermodel Claudia Schiffer di pulau tersebut.
Epstein dikatakan gemar melayan tetamu di pulau tersebut dan turut membayar kapal selam yang telah diubah untuk menjadi katil bagi memberikan tour laut untuk Stephen Hawking yang tak pernah merasai pengalaman tersebut. Malah salah seorang bekas pekerjanya mengatakan, kunjungan tetamu ke sana seperti bercuti di hotel lima bintang tanpa bayaran.
Sejak dari awal, penduduk-penduduk tempatan di St Thomas telah pun mula bercakap mengenai aktiviti-aktiviti haram Epstein dengan memanggil pesawat peribadi jutawan ini sebagai “The Lolita Express”. Dikatakan, apabila perenang-perenang skuba berenang berdekatan pulau tersebut, pengawal keselamatan di sana akan memantau persisiran pantai di sana.
Manakala seorang bekas pengawal trafik udara mengatakan dia telah melihat beberapa kali Epstein keluar dari helikopter dan menaiki pesawat peribadinya bersama kanak-kanak perempuan.
Seorang lagi pekerja di lapangan terbang mengatakan, gadis-gadis yang dilihat bersama Epstein memang dilihat sangat muda seperti masih berada di sekolah menengah dan mereka akan memakai sweater dengan nama-nama kolej seperti menyamar.
Miles Alexander yang mengurus pulau tersebut dari tahun 1999 hingga 2007 bersama isterinya pula berkata, kadang-kadang dia terpaksa menolak permintaan Epstein untuk membawa masuk tetamu-tetamu wanita ke pulau tersebut menggunakan bot tanpa mendapatkan nama dan nombor pasport mereka.
Segala aktiviti yang berlaku di pulau ini masih menjadi subjek beberapa kes yang sedang berjalan di mahkamah, namun tuduhan-tuduhannya memang sangat mengejutkan.
Menurut satu tuntutan mahkamah yang difailkan oleh pendakwa Putera Andrew, Virginia Roberts Giuffre, Little St James merupakan pusat grooming di mana perekrut yang bekerja dengan Epstein akan menyasarkan gadis muda yang sanggup untuk didera dan ditipu. Selain itu, ketakutan dan harapan mereka juga dimanipulasi dan turut ditawar kemewahan sebelum memaksa mereka membuat seks bersama pelanggan.
Tuntutan tersebut juga turut mengatakan bahawa pulau tersebut menjadi tempat untuk pesawat peribadi membawa mangsa pemerdagangan seks dari London, Paris, Tangier, Granada, St Louis, Palm Beach, Atlantic City dan banyak lagi.
Ms Guiffre turut mengatakan bahawa Putera Andrew pernah menderanya secara seksual di pulau tersebut ketika dia berusia 17 tahun namun putera tersebut menafikannya. Kemudian pada tahun 2022, dia bersetuju untuk membuat perjanjian di luar mahkamah dengan membayar satu jumlah yang tak diberitahu tanpa dia perlu mengatakan yang dia bersalah.
Pejabat peguam negara Virgin Islands turut membuat dakwaan yang sama mengatakan, di antara tahun 2001 dan 2019, Epstein Enterprise telah membawa gadis-gadis bawah umur ke Virgin Islands sebelum di bawa oleh helikopter atau kapal peribadi untuk ke Little St James.
Bagi menutup perbuatan haramnya ini, Epstein telah bekerjasama dengan beberapa syarikat dan individu yang sanggup untuk menyembunyikan aktiviti jenayahnya ini sebagai pertukaran mendapatkan faedah kewangan termasuk servis seksual dari mangsa pemerdagangan.”
Lebih mengejutkan, beberapa mangsa ini dikatakan ada yang berusia seawal 12 tahun.
Aduan ini turut mendakwa pulau tersebut adalah seperti penjara buat mangsa-mangsa ini di mana Epstein telah mengawal semua komunikasi dari dunia luar. Ia turut mengatakan, salah seorang mangsa berusia 15 tahun pernah cuba untuk lari dengan berenang namun sempat ditangkap dan pasportnya dirampas.
Kenapa tak ada orang buat apa-apa?
Im 89954
Pihak berkuasa dikatakan telah membuat cubaan beberapa kali untuk menyiasat Little St James, sebagai pesalah jenayah seks, Epstein perlu mendaftar setiap tahun dan setiap kali pihak berkuasa cuba untuk melawat pulau tersebut mereka akan dihalang dan diminta untuk berjumpa di pejabatnya yang terletak di St Thomas.
Tak cukup dengan itu, Epstein juga turut menyuruh semua pekerja-pekerjanya untuk menandatangani perjanjian yang menghalang mereka dari bercakap dengan mana-mana pihak berkuasa dan perlu melaporkan apa-apa pertanyaan dari pihak luar kepadanya.
Apa yang akan berlaku pada pulau ini sekarang?
Selepas Epstein meninggal dunia pada tahun 2019, hampir dua tahun nasib Little St James berada dalam limbo selepas kerajaan US Virgin Islands meminta hakim untuk memberikan mereka kuasa kepada aset-aset lama Epstein.
Namun begitu, pelaksana harta Epstein telah melawan permintaan tersebut dengan mengatakan bahawa dia mahu menggunakan asetnya untuk membuat dana bagi mangsa penderaan seksual dan meminta pihak kerajaan untuk menyahbekukan dua pulau milik jutawan ini supaya ia dapat dijual.
Ms George kemudiannya membantah dengan menuduh mereka salah urus harta dan akan menggunakan duit tersebut untuk membayar peguam, helikopter dan perkara lain tapi bukan untuk mangsa-mangsa.
Pada November 2022, US Virgin Islands dan ejen harta pusaka Epstein telah bersetuju untuk membayar kerajaan sebanyak US$105 juta dan separuh dari keuntungan dari jualan pulau-pulau tersebut.
Seorang pelabur, Stephen Deckoff mengumumkan bahawa dia akan membeli kedua-dua pulau milik Epstein dengan harga US$60 juta bagi membuka resort mewah 25 bilik yang bakal dibina pada tahun 2025.
Baca juga: Rupanya Hajar Aswad pernah dicuri selama 23 tahun