Pelakon Hafidz Roshdi membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, hari ini membabitkan hantaran mengaibkan yang dimuat naik bekas isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri dalam media sosial.
Hafidz berkata, dia memilih berdiam diri selama ini, tetapi tidak mampu
boleh bersabar dengan tindakan bekas isteri yang disifatkan keterlaluan.
“Saya tidak faham kenapa dia seolah-olah tak berpuas hati apabila saya berkongsi berita gembira kembali menerima tawaran berlakon.
“Sejak itu, dia mula ‘tumpahkan’ macam-macam, bermula soal nafkah anak, yuran sekolah, insurans dan terbaharu, sebarkan fitnah dalam hantaran di media sosial.
“Jadi, atas saranan peguam, saya buat laporan polis bagi mengelakkan lebih banyak penyebaran kisah tak betul,” katanya kepada BH Online.
Sementara itu, Hafidz menyangkal dakwaan Nurul Shuhada yang dirinya menyalahgunakan rahsia dan bukti mahkamah berkaitan kes sivil serta syariah yang masih dalam perbicaraan.
“Dia memandai-mandai mereka-reka cerita. Kalau betul saya sebarkan dokumen, saya minta dia kemukakan bukti dalam platform mana yang saya sebarkan,” kata Hafidz.
Hafidz juga menuntut Nurul Shuhada mengemukakan bukti berhubung dakwaan ahli keluarganya memburukkannya dalam semua media sosial.
“Dia dakwa ahli keluarga saya memburukkannya di semua media sosial dengan menghantar mesej langsung kepada pengguna media sosial yang mengenalinya.
“Kalau betul ahli keluarga atau ibu bapa saya ada berbuat demikian, kemukakan bukti.
“Saya yakin netizen lebih bijak menilai siapa yang lebih banyak bersuara selama ini,” katanya.
Terdahulu, Nurul Shuhada membuat laporan ke atas bekas suaminya di Ibu Pejabat Polis Arau, Perlis.
Nurul Shuhada mendedahkan terpaksa mengambil tindakan serius kerana pihak sana menguji kesabarannya dan tidak menghormatinya.
Hafidz menegaskan, dia tidak pernah memiliki akaun palsu di mana-mana media sosial, selain tak pernah menyamar sebagai orang lain dan membuat komen dalam mana-mana hantaran dimuat naik bekas isterinya.
Hafidz dan Nurul Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016. Namun, mereka bercerai pada 27 Julai tahun lalu selepas melalui proses mahkamah yang mendapat liputan meluas media.
Hasil perkongsian hidup, pasangan berkenaan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Humairah, 7, dan Umar, 4.
Hafidz yang juga finalis program pencarian bakat, Hero Remaja Edisi 2011/2012 berkahwin dengan cinta pertamanya, Athira Yuhada di Glenmarie, Shah Alam pada 15 Disember lalu.
Baca : Kerajaan Arab Saudi buka tempat yang dilaknat nabi sebagai tempat pelancongan