‘Ini semua punca Israel buatkan kami rugi’ luah penguasaha McDonald’s

McDonald’s, rangkaian makanan segera terbesar di dunia, melaporkan kegagalan mencapai sasaran jualan pada suku keempat tahun 2023, yang didorong oleh sentimen boikot akibat dakwaan menyokong Israel, seperti yang dilaporkan oleh Badan Penyiaran Britain (BBC) kelmarin.

Ini merupakan pertama kalinya McDonald’s gagal mencapai sasaran jualan dalam hampir empat tahun berikutan prestasi lemah dalam divisyen perniagaan antarabangsa.

Perang Israel-Gaza memberikan kesan besar terhadap prestasi McDonald’s di beberapa pasaran luar negara pada suku keempat tahun 2023.

'Ini semua punca Israel buatkan kami rugi' luah penguasaha McDonald's

Di cawangan McDonald’s termasuk Asia Barat, China, dan India, pertumbuhan jualan hanya mencatatkan 0.7 peratus, jauh di bawah sasaran yang ditetapkan.

Jualan global secara keseluruhan meningkat kurang daripada empat peratus pada tempoh sama, menurun daripada 8.8 peratus yang direkodkan pada suku sebelumnya.

Chris Kempczinski, Ketua Pegawai Eksekutif McDonald’s, mengakui bahawa perniagaannya di Malaysia, Indonesia, dan Perancis juga terjejas, terutama di rantau Asia Barat.

Menurut McDonald’s, kempen boikot tersebut timbul akibat persepsi salah terhadap francaisnya.

“Selagi perang ini berterusan, kami tidak menjangkakan pemulihan yang signifikan bagi pasaran-pasaran tersebut,” katanya.

Perniagaan McDonald’s bergantung kepada sistem francais di mana ribuan syarikat persendirian mengendalikan dan memiliki sebahagian besar daripada lebih 40,000 cawangannya di seluruh dunia.

Syarikat ini menerima kritikan selepas francaisnya di Israel mengumumkan bahawa mereka memberi makanan percuma kepada askar Israel, yang kemudiannya mencetuskan boikot besar-besaran di negara-negara dengan majoriti penduduk Islam seperti Kuwait dan Pakistan.

Baca Juga : Ada sindiket aktiviti guna pelajar IPT jual kek coklat harga kayangan