Jangan Main “Modified”, Ini Spesifikasi Nombor Plat Yang Dibenarkan JPJ
Ada segelintir orang kita gemar untuk melakukan pengubahsuaian pada kenderaan masing-masing.
Salah satu pengubahsuaian yang sering dilakukan adalah pada nombor plat kenderaan masing-masing. Antara sebab yang dikemukakan adalah bagi memastikan bentuk tulisan plat kenderaan itu menepati citarasa masing-masing.
Sungguhpun begitu, pihak berkuasa telah menetapkan peraturan bagi menentukan bentuk dan saiz tulisan yang dibenarkan pada nombor plat masing-masing.
Hal ini adalah bagi memastikan bacaan bagi nombor plat kenderaan masing-masing jelas dan tidak mengelirukan. Apabila bacaan nombor plat tidak jelas dan mengelirukan, perkara ini akan menyukarkan ramai pihak lagi-lagi dalam situasi kecemasan seperti kes kecurian kenderaan, kemalangan dan sebagainya.
Manakala, undang-undang berkenaan spesifikasi nombor plat kenderaan telah termaktub dalam Akta Nombor Pendaftaran Kenderaan dinyatakan dalam Kaedah 5, Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Pendaftaran dan Pelesenan) 1959.
Bagi yang masih belum mengetahui, Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) telah berkongsi spesifikasi yang ditetapkan bagi nombor plat kenderaan berkenaan.
Menerusi laman webnya, hanya tiga bentuk plat nombor pendaftaran kenderaan yang dibenarkan di Malaysia.
1. Huruf dan nombor berwarna putih yang dilekatkan atau di’embossed’ atas bingkai hitam.
2. Huruf dan nombor berwarna putih yang dilekatkan atau di’embossed’ atas bingkai berwarna merah bagi kenderaan kedutaan, PBB dan International Natural Rubber Association.
3. Huruf dan nombor berwarna hitam yang di’embossed’ atas bingkai berwarna putih bagi teksi atau kereta sewa.
Semua pemilik kenderaan di Malaysia perlu mematuhi spesifikasi nombor pendaftaran kenderaan yang ditetapkan kerajaan.
Jika anda tidak mematuhinya, anda akan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 14(4) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu, individu yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM300 dan tidak lebih daripada RM3,000.