Terdahulu, kerajaan telah memberikan kemudahan kepada orang awam dengan memberikan sijil vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera bagi individu yang melengkap kedua-dua suntikan vaksin.
Perkara itu boleh menjadi bukti kepada masyarakat sekiranya ingin mengunjungi sesebuah premis dengan menunjukkan kepada pihak yang bertugas.
Ia ditambah dengan sistem aplikasi tersebut yang telah ditambah baik bagi memudahkan masyarakat mengimbas serta menunjukkan sijil dengan segera.
Namun, sejak kebelakangan ini, terdapat banyak kejadian membabitkan sijil vaksinasi palsu yang dibuat seseorang individu yang tidak ingin mengambil suntikan vaksin.
Boleh mohon sijil jika ada masalah kesihatan
Menurut laporan Kosmo, individu yang tidak mengambil vaksin kerana faktor kesihatan boleh memohon sijil pengecualian vaksinasi di MySejahtera.
Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, yang memberikan kelonggaran itu jika seseorang mengalami masalah kesihatan sehingga tidak boleh disuntik.
Khairy Jamaluddin
Menurutnya, permohonan itu boleh dilakukan melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berdekatan dengan mengemukakan borang khas slip penilaian kesesuaian menerima Vaksin.
Tambahnya, pengecualian itu hanya kepada pesakit yang mempunyai masalah penyakit tertentu yang telah disahkan oleh pakar perubatan.
Yang pertama adalah pakar perubatan di hospital swasta yang merawat individu tersebut, pakar perubatan atau yang merawat semasa ketiadaan pakar perubatan di hospital kerajaan ataupun pakar perubatan keluarga di klinik kerajaan.
Jika permohonan lengkap dan mengikuti syarat yang ditetapkan, sijil digital tersebut melalui MySejahtera akan diperolehi dalam tempoh seminggu.
Tak perlu MTP jika dah capai 90 peratusan vaksinasi
Sementara itu, rakyat juga berpeluang melancong ke luar negara secara bebas tanpa perlu memohon kelulusan MyTravelPass (MTP) jika negara mencapai 90 peratus vaksinasi dewasa.
Menurut Khairy, negara kini semakin hampir dengan sasaran itu apabila jumlah yang lengkap divaskin telah mencapai tahap 87.6 peratus.
Kita sudah berada pada tahap 87.6 peratus. Tidak lama sahaja lagi kita akan dapat berkumpul semula dengan rakan dan keluarga di luar negara.
Walaubagaimanapun, beliau juga menyatakan bahawa keperluan untuk melaksanakan kuarantin sebaik sahaja pulang dari luar negara masih kekal diteruskan.