Seorang ahli perniagaan berusia 40 tahun dari Pulau Pinang telah mencipta sejarah sebagai pemenang loteri terbesar dalam negara dengan memenangi hadiah sebanyak RM69.6 juta. Kemenangan luar biasa ini diperoleh melalui permainan Grand Toto pada 13 September yang lalu.
Pemenang bertuah ini mendedahkan bahawa beliau hanya menghabiskan RM50 untuk 25 set nombor Lucky Pick yang membawanya meraih jackpot tersebut. Kemenangan besar ini membuktikan bahawa keberuntungan berpihak kepadanya pada hari tersebut.
Menariknya, kejayaan ini hampir tidak berlaku kerana dia hampir melepaskan peluang untuk membeli tiket loteri pada malam tersebut. Sewaktu dalam kesesakan lalu lintas dalam perjalanan untuk makan malam, dia membuat keputusan spontan untuk mengikut laluan alternatif. Ketika melalui kedai Sport Toto, dia teringat kepada cerita kawan-kawannya mengenai loteri Toto terbesar.
“Kebetulan ternampak kedai Sport Toto. Jadi, saya rasa saya patut mencuba nasib kerana kawan-kawan saya bercakap mengenai loteri Toto terbesar,” katanya .
Walaupun tidak memeriksa keputusan pada malam tersebut, dia mendapat tahu melalui kawannya bahawa pemenang kali ini berasal dari Pulau Pinang. Kegembiraan dan kejutan melanda apabila dia memeriksa tiket dan mendapati nombor pemenang sepadan dengan nombor tiketnya.
“Kami sangat teruja sehinggakan tidak dapat berhenti menjerit mula berlari sekitar rumah,” ujarnya.
Mengenai penggunaan wang kemenangannya, lelaki ini merancang untuk menyumbangkan sebahagian kepada pertubuhan kebajikan, melunasi pinjaman, dan melabur dalam hartanah. Kemenangan ini melebihi rekod sebelumnya, iaitu RM57 juta pada tahun 2012, dan menjadi hadiah loteri tertinggi di Malaysia, mengatasi jumlah RM28 juta dari jackpot Toto 6/58.
Baca Juga : Apa jahat dia tak buat, jual mak mertua dan bakar rumah isteri