Isu penjualan Abraj : Ini penjelasan Tabung Haji

Oleh Admin

Lembaga Tabung Haji (TH) merujuk kepada perkara yang dibangkitkan berkenaan Abraj Sdn Bhd di media sosial hari ini dan ingin membuat penjelasan berikut :-

Abraj adalah syarikat usaha sama 50:50 yang ditubuhkan pada bulan November 2009 sebagai sebahagian dari pelaburan dalam industri hartanah. Syarikat usaha sama ini memiliki tiga buah bangunan pejabat di Cyberjaya, Selangor.

Pada awal penubuhannya, Abraj telah menunjukkan prestasi yang baik dan telah memberi dividen kepada pemegang sahamnya kerana kesemua ruang bangunan telah disewa sepenuhnya.

Kedudukan kewangan Abraj mula terkesan sejak 2015 dan ianya tidak mampu menjana pendapatan yang cukup untuk membayar pembiayaan bank. Ini disebabkan salah satu penyewa utama telah berpindah ke tempat lain menyebabkan satu bangunan kosong sehingga hari ini. Ia telah menyebabkan TH menanggung kerugian rosot nilai pelaburan berjumlah RM40.25 juta dalam tahun 2019.

TH telah memutuskan untuk menjual syarikat berkenaan pada nilai RM96 juta. Pembeli akan membayar RM100,000 secara tunai dan mengambil alih tanggungan syarikat termasuk bayaran balik pembiayaan bank yang berjumlah RM192 juta.

 

Sumber : https://www.tabunghaji.gov.my/ms/faq/isu-isu-semasa/penjelasan-isu-abraj-sdn-bhd