Isu Veveonah : Siapa menipu, ditipu, tertipu dan jadi mangsa tipu?

Anggota Parlimen Kudat, Abdul Rahim Bakri mempertahankan dakwaannya bahawa Youtuber Veveonah Mosibin menipu ketika menjawab peperiksaan di atas pokok menerusi videonya yang tular.

Jelas Abdul Rahim, dia serta pegawainya telah membuat siasatan sebelum mengeluarkan kenyataan sedemikian.

Katanya, pegawainya telah berjumpa dua ketua kampung -Elwin Madisa (ketua kampung Sepatalang) dan Edward Upak ketua kampung Bilangau Besar) Daerah Pitas, Kota Marudu Sabah- bagi mendapatkan maklumat berkenaan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu.

“Seperti keterangan kedua-dua ketua kampung, ibu-bapa pelajar ini sudah terlalu lama tidak tinggal di kampung Sepatalang kerana bapanya Mosibin bin Maraun@ Makrun bekerja di Koperasi Pembangunan Daerah (KPD) di pekan Pitas .

“Mereka sebenarnya tinggal menetap di pekan Pitas yang ada khidmat internet, sebenarnya dia tidak ada rumah di kampung Sepatalang seperti yang dia dakwa.

“Oleh itu macam mana pelajar ini boleh mendakwa dia belajar di atas pokok di kampung Sepatalang sedangkan dia sebenarnya tinggal di pekan Pitas,” katanya mengulangi bahawa Veveonah sengaja bertindak sedemikian untuk mendapatkan perhatian dan publisiti .

Nama Veveonah kembali menjadi hangat selepas isu dakwaannya itu pertama kali dibangkitkan oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin.

Veveonah yang merupakan pelajar Asasi Sains dari UMS menafikan kenyataan timbalan menteri terbabit dan berkata dia sememangnya sedang menduduki peperiksaan ketika memanjat pokok berkenaan.

Veveonah berkata video tularnya itu turut mendapat pengesahan pihak institutnya iaitu Universiti Malaysia Sabah (UMS).

“Saya juga ada bukti dalam jadual tarikh untuk peperiksaan dan rakan-rakan saya juga tahu.

“Video tular itu juga sudah diketahui dan disahkan pihak universiti. Takkan universiti mahu cakap saya palsu,” katanya.

Zahidi kemudian menjadi kecaman orang ramai selepas mengeluarkan kenyataan tersebut dan memohon maaf atas ketelanjurannya kerana mendapat maklumat yang ‘tidak tepat’ setelah mendakwa pelajar itu.

Bagaimanapun hari ini, Zahidi menjelaskan di Dewan Negara bahawa dia memperoleh maklumat itu dari Abdul Rahim.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/541663