Jangan bergaduh depan orang ramai, Khairy nasihatkan parti sendiri

Ahli Parlimen Rembau dan bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menggesa pemimpin parti menyelesaikan sebarang konflik berhubung siapa yang patut mengetuai jentera untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada bulan depan.

Beliau berkata demikian selepas 12 bahagian Umno Sabah bersama Ahli Majlis Tertinggi Umno, Abdul Rahman Dahlan semalam menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap pemilihan Bung Moktar Radin untuk mengetuai parti itu dalam PRN Sabah yang disifatkan sebagai satu “penghinaan”.

Khairy berkata, Rahman berhak mempunyai pandangan sendiri, tetapi perkara itu sensitif dan ia perlu diselesaikan secara dalaman.

“Kita mempunyai sebulan menjelang penamaan calon, jadi kita ada banyak kerja perlu dibuat dari segi rundingan kerusi dengan rakan kongsi kita.
Ads by Streamlyn

“Lebih baik menyelesaikan perkara dalaman Umno secara tertutup. Saya yakin kita akan mencapai persetujuan boleh diterima semua,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Semalam, Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Bung akan mengetuai jentera BN untuk PRN Sabah.

Bagaimanapun, Rahman dilaporkan berkata, pelantikan Bung tidak dibincangkan dan ia melanggar semangat autonomi Sabah yang diumumkan tahun lepas.

Katanya, kumpulan itu cuba menemui Zahid di Kuala Lumpur, namun beliau tidak memberi maklum balas sehingga kini.

“Kita (12 bahagian Umno Sabah) berharap dapat bertemunya dan percaya beliau sebagai orang lama dalam politik tahu untuk bertindak selepas mendengar isi kandungan sidang media ini,” katanya semalam.

Rahman berkata, mereka tidak mahu seorang pemimpin yang perlu menghadiri perbicaraan mahkamah atas pertuduhan rasuah untuk berkempen bagi parti itu pada PRN Sabah akan datang.

Berita penuh: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2020/08/19/selesaikan-konflik-prn-sabah-secara-dalaman-khairy-beritahu-umno/