Jika anda tidak mempunyai oven untuk memasak kek, tiada masalah! Teknik bakar kek dalam periuk menggunakan dapur gas masih boleh diaplikasikan.
Kebanyakan orang menggunakan ketuhar untuk membakar kek, tetapi tahukah anda bahawa kek juga boleh dibakar di atas dapur gas?
Ini sebenarnya merupakan cara yang sering digunakan oleh generasi terdahulu untuk memasak kek, dan hasilnya, kek tetap enak.
Resipi mungkin sama, tetapi teknik memasak kek di atas dapur adalah yang penting (silakan rujuk teknik di bahagian bawah). Kek yang dihasilkan pasti cantik dan gebu.
TEKNIK BAKAR KEK MARBLE ATAS DAPUR GAS
Bahan-bahan:
– 1 cawan marjerin (cap Pelangi)
– 1 cawan gula
– 2 cawan tepung naik sendiri (diayak)
– 1 sudu kecil esen vanilla
– 5 biji telur gred B
– 2 sudu besar susu cair
– Pewarna hijau & merah
Cara-cara penyediaan kek:
1. Pukul gula dengan marjerin sampai kembang, masukkan esen vanilla & susu cair.
2. Masukkan telur sebiji demi sebiji dan pukul sampai sebati. Akhir sekali, masukkan tepung yang dah diayak.
3. Bahagikan adunan kepada 3 bahagian untuk letak pewarna. Tuang adunan dalam loyang (corak ikut citarasa).
4. Ambil periuk besar yang boleh muatkan loyang, letak atas dapur. Masukkan loyang dalam periuk dan tutup periuk.
5. Masak dengan api kecil selama 45 minit. Siap.
Tip Tambahan:
– Periuk perlu ditutup semasa bakar kek.
– Tak perlu letak air, kalau letak air jadi stim/kukus.
– Boleh letak alas bahagian dalam periuk dengan tudung periuk atau apa-apa petua yang diajar oleh mak-mak kita sebelum letak loyang kek.
– Jika kek belum masak dalam tempoh 45 minit, tambah masa 5 hingga 10 minit lagi.
– Tak perlu panaskan periuk sebelum masukkan loyang kek, kalau ada yang ingin panaskan dahulu, terserah.
Semoga panduan ini bermanfaat untuk anda.
Baca Juga : ‘Mak mertua nak ex-GF suami bukan aku’ luah wanita ini bikin kecoh