Datuk Pandelela Rinong, ratu terjun negara, mengungkapkan bahawa terdapat ‘entiti’ yang mengganggu skuad terjun negara, yang menyebabkan kegagalan mereka untuk beraksi cemerlang dalam Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar minggu lalu.
Menurut Pandelela, beliau akan membawa isu tersebut kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, untuk membincangkan masalah yang dihadapi oleh skuad tersebut.
Ini bukan hanya mengganggu penerjun senior tetapi juga penerjun ‘junior’.
“Ada perkara yang tidak kena berlaku dan itulah yang terjadi. Perkara itu telah menjadi tambahan kepada semua yang berlaku,” katanya.
Kejayaan yang tidak mencukupi di Doha menjadi pukulan kepada skuad terjun negara, terutamanya kepada Pandelela, yang terlepas peluang ke Paris 2024 selepas terkandas di pusingan kelayakan dalam acara kegemarannya, 10 meter (m) platform individu.
Tidak hanya itu, dia juga gagal melayakkan diri dalam acara 10m platform seirama bersama gandingannya, Nur Dhabitah Sabri, apabila mereka mengakhiri acara final di kedudukan ke-12 daripada 16 pasangan.
“Ada yang berlaku berada di luar kawalan kami, yang mana kami boleh kawal, kami cuba untuk mengawalnya. Ada bendalah yang berlaku di luar jangkaan kami, hendak diperjelaskan nanti panjang cerita. Apa yang saya boleh katakan ada perkara luar jangkaan yang berlaku dan nasib tidak menyebelahi kami.
“Boleh dikatakan hampir kesemua kami (penerjun) terkesan dengan perkara ini. Dia bukan sahaja mengganggu penerjun senior, juga penerjun junior. Lebih baik saya membincangkan perkara ini secara dalaman,” katanya.
Diketahui, Pandelela telah beraksi dalam empat Sukan Olimpik bermula dari Beijing 2008, London 2012, Rio 2016, dan Tokyo 2020.
Pada London 2012, atlet kelahiran Sarawak itu mencipta sejarah sebagai atlet wanita pertama negara yang memenangi pingat Olimpik (gangsa) melalui acara 10m platform individu.
Empat tahun kemudian di Rio 2016, dia meraih pingat perak bersama bekas rakan sepasukannya, Cheong Jun Hoong, melalui acara 10m platform seirama wanita.
Baca Juga : Memang saya tak berdaya, dia minta saya cium dia selama seminit lepas tu…’