Jho Low nafi pernah berurusan dengan bekas pegawai Ambank yang kendalikan akaun peribadi Najib

Jho Low nafi pernah berurusan dengan bekas pegawai Ambank yang kendalikan akaun peribadi Najib.

Bekas pegawai Ambank yang mengendalikan akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak terkejut dengan kenyataan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low yang menafikan pernah berhubung dan berurusan dengannya.

Dalam perbicaraan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dihadapi Najib hari ini, peguam belanya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, berkata Jho Low membuat kenyataan itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 27 November 2015.

Muhammad Shafee yang menyoal balas saksi ke-41 pendakwaan, iaitu bekas Pengurus Perhubungan Ambank, Joanna Yu Ging Ping, berkata Jho Low memberitahu pegawai SPRM bahawa dia tiada kena mengena dengan akaun bank Najib.

Apabila disoal oleh Muhammad Shafee mengenai kenyataan itu, Ging Ping mengakui terkejut dengan penafian ahli perniagaan terbabit kerana beliau selalu berhubung dan berurusan dengan Jho Low, malah menerima setiap arahan berhubung akaun berkenaan.

Dalam keterangan sebelum ini, Ging Ping mengakui mempunyai hubungan kerja rapat dan bersahabat dengan Jho Low serta sering menerima jemputan ke pangsapuri milik ahli perniagaan itu di Jalan Kia Peng bersama beberapa rakan lain.

Kenyataan Jho Low itu ditimbulkan Muhammad Shafee selepas Ging Ping memberitahu mahkamah, setiap tindakannya adalah atas arahan Jho Low apabila disoal mengenai transaksi wang keluar masuk dalam akaun bekas perdana menteri itu.

Kenyataan itu yang turut digunakan dalam perbicaraan kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, Jho Low menafikan mempunyai kaitan dengan akaun peribadi Najib dan akaun SRC dalam apa juga perkara.

Jho Low turut menafikan pernah memberi arahan kepada sesiapa termasuk Ging Ping berhubung transaksi kewangan, atas dasar bukan penandatangan yang diberi mandat menguruskan akaun Najib.

Muhammad Shafee: Adakah kamu terkejut Jho Low beritahu SPRM yang dia menafikan pernah berbual dengan kamu melalui perbualan Blackberry (BBM)?

Ging Ping: Saya tidak tahu apa yang beliau beritahu SPRM.

Muhammad Shafee: Jho Low beritahu, dia tidak tahu mengenai perbualan ini dan menafikan pernah bercakap dengan kamu. Adakah kamu terkejut?

Ging Ping: Ya.

Ging Ping berkata demikian dalam perbicaraan terhadap Najib yang didakwa atas 25 pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah, selain terbabit dalam pengubahan wang haram membabitkan dana syarikat 1MDB berjumlah RM2.3 bilion.

Ging Ping turut menafikan pernah menerima rasuah sebuah telefon bimbit jenama iPhone 5S daripada Jho Low.

Ging Ping berkata, Jho Low menawarkan telefon terbabit tetapi beliau menolak kerana mahu dan tidak memerlukannya.

Beliau juga beberapa kali menolak tawaran pekerjaan oleh Jho Low kerana tidak mahu mengikut cara kerja lelaki itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung hari ini.

BACA JUGA:

BANJIR JOHOR: Semakin surut, 977 mangsa masih berada di pps

MU mara ke final Piala Liga

Anak-anak sedang membesar? Berikan suplemen terbaik buat anak anda… Ini antara 9 suplemen terbaik yang boleh diambil