Jika pergi Perak, kena cuba cendol padu ini! Ada kuih-muih yang lain juga..
CUACA panas di negara kita menyebabkan hidangan pencuci mulut seperti cendol sering menjadi pilihan ramai.
Jika anda berada di sekitar Perak, jangan lupa berkunjung ke salah satu daripada empat cawangan Abe Cendol Warisan yang terletak di Felcra Changkat Lada, Sungai Ranggam, Kampung Gajah dan Padang Speedy.
Menurut pengasasnya, Mohamad Amir Syakirin Mohamed Napi, 30, dia sebelum ini pernah bekerja sebagai pemandu lori sebelum mula mengusahakan perniagaan cendol pada 2019.
“Saya berasal dari Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian berhijrah untuk bekerja di Kuala Lumpur pada 2013. Sebelum ini saya bekerja sebagai pemandu lori untuk Jakel.
Kemudian saya tak ada kerja. Kebetulan mak mentua ajak berniaga di Perak. Jadi bermulalah Abe Cendol Warisan pada 2019. Saya belajar buat cendol dengan mak mentua.
“Dulu mak mentua pun berniaga cendol di pasar malam dan pasar pagi. Tapi dah 10 tahun dia berhenti. Sekarang saya yang teruskan, sebab itu saya namakan perniagaan ini sebagai Abe Cendol Warisan,” ujarnya.
Senang disapa Amir, dia yang mendirikan rumah tangga pada 2015 mengakui agak kekok untuk berniaga cendol memandangkan tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam bidang itu.
Kini, Amir bersyukur apabila rezeki berpihak kepadanya, membuatkan dia bersemangat untuk terus mengembangkan perniagaan itu bersama isterinya.
“Dulu masa awal-awal memang susah nak biasakan diri. Sebab saya tak pernah berniaga, langsung tak ada pengalaman.
“Tapi Alhamdulillah, sekarang saya dah ada HQ, saya sewa kedai untuk proses cendol. Buat masa sekarang dah ada tiga cawangan. Terbaharu saya buka di Padang Speedy, di Teluk Intan pada minggu lepas,” ujar Amir yang dibantu beberapa pekerja untuk menguruskan kesemua gerai miliknya.
Baru-baru ini, bapa kepada seorang cahaya mata itu juga ada berkongsi video, memaparkan dia sedang membuat hebahan mengenai cawangan terbaharu Abe Cendol Warisan menerusi aplikasi TikTok.
Selain menyatakan sokongan padu buat Amir atas perniagaan yang diusahakan, segelintir netizen juga turut berjenaka kerana tertarik dengan rupa paras serta tubuhnya yang sado.
“Aku nak beli tuan cendol. Tak kira berebut pun berebut la kali ni.
“Datang nak minta autograph boleh tak bang?
“Beli cendol, dapat bang sekali tak?” soal beberapa netizen dalam nada bergurau.
Menurut Amir, dia sudah sembilan tahun berjinak-jinak dalam bidang fitness namun mula menumpukan sepenuh fokus terhadap bidang itu pada dua tahun lalu
Bagi yang mahu mencuba, cendol di gerai itu dijual pada harga RM4 secawan, manakala sebungkus cendol pula dijual pada harga RM6.
Selain cendol, pelanggan yang hadir ke gerainya juga boleh mencuba snek lain seperti cakoi panas, kuih-muih dan keropok lekor.
BACA JUGA:
Apa itu OOTD? Jom ketahui maksudnya…
Cara buat gambar passport guna telefon sahaja..
’Update’ terkini Timeline Twitter berdasarkan pilihan terakhir anda