Hutan yang lebat dengan pokok-pokok yang tinggi dan merimbun menjadi tempat tinggal bagi pelbagai jenis makhluk.
Apabila seseorang memasuki kawasan rimba, keberhatian dan pematuhan terhadap tingkah laku serta pantang larang adalah penting kerana terdapat bahaya yang mungkin mengancam.
Bagi mereka yang sering melakukan aktiviti di hutan, mereka akan memiliki pemahaman yang lebih mendalam mengenai rahsia dan keunikan alam semula jadi ini.
Jejak tapak haiwan dan tinggalan najis boleh memberikan petunjuk yang sangat berguna.
Menerusi perkongsian di laman X, seorang lelaki menunjukkan kebolehannya ‘membaca’ ancaman di sekeliling hanya dengan melihat tompokan najis di tanah.
Dalam satu misi pendakian ke puncak Gunung Alai di Gerik, Perak, Isaac Osman dan pasukannya menemui tompokan najis yang masih segar di trek pendakian.
“Baru 30 minit mendaki, kami telah menjumpai najis gajah di atas trek. Ini merupakan najis yang baharu dan masih segar. Jam menunjukkan 3.30 pagi. Setelah melihat kawasan berdekatan, kami dapati tapak kaki gajah yang lebih kecil, menandakan keluarga gajah, dengan mak dan anaknya. Kami segera memutuskan untuk patah balik,” ceritanya.
Isaac menekankan bahawa keluarga gajah cenderung menjadi lebih agresif dan mudah terprovokasi apabila merasa terancam, terutamanya dalam usaha melindungi anak-anak mereka daripada ancaman luar.
“Rumah saya di kawasan kampung, gajah suka singgah, terutamanya jika terdapat banyak pokok buah. Tetapi jangan takut untuk datang ke Gunung Alai kerana pemandangan di puncaknya sangat cantik,” tambahnya.
Isaac kemudiannya memberikan penjelasan perbezaan antara najis lembu dan najis gajah, memberikan nasihat agar orang ramai dapat mengamati dengan bijak dan tidak terburu-buru atau panik.
“Pastikan anda memiliki permit dan diiringi oleh guide yang berpengalaman,” pesan Isaac.
Dalam ruangan komen, warganet mengambil maklum dengan baiknya pendedahan tersebut yang dapat menjadi berguna untuk pengalaman mendaki pada masa akan datang.
Beberapa warga juga berkongsi pengalaman dan nasihat mereka mengenai interaksi dengan gajah di kawasan hutan.
Baca Juga : Dapat bermacam ugutan, Ifa Raziah pasang 5 ‘bodyguard’ abang sado