Ramai Kagum Tengok Lelaki Cina Ini Cerita Tentang Ibadah Puasa Kepada Wanita Korea
Amalan berpuasa merupakan satu amalan yang wajib sewaktu di bulan Ramadan bagi penganut agama Islam. Perkara ini termaktub dalam Rukun Islam ketiga.
Secara ringkasnya, setiap umat Islam perlu menahan diri daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar sadiq sehingga terbenamnya matahari.
Secara ringkasnya, kebanyakan penduduk di seluruh dunia mengetahui berkenaan kewujudan bulan Ramadan. Akan tetapi, ramai penduduk global tidak mengetahui sebab mengapa umat Islam perlu berpuasa, selain mematuhi suruhan daripada Allah SWT.
Menariknya, salah seorang penggiat Youtube telah menjelaskan sebab berpuasa kepada teman wanitanya, walaupun tidak menganut agama Islam.
Untuk pengetahuan, saluran Youtube Kim & Wong itu memaparkan kisah seharian Wong Eddy yang berasal dari Malaysia dan teman wanitanya, Kim Erin dari Korea Selatan.
Kebanyakan video mereka berkisarkan kehidupan mereka di Malaysia dan Korea Selatan, seperti makanan, masyarakat, budaya dan sebagainya.
Dalam satu video yang dimuat naik pada 22 Mac lepas, mereka telah menunjukkan pengalaman berpuasa di bulan Ramadan.
Pada awalnya, Kim dan Wong telah mengunjungi bazar Ramadan untuk mencari juadah berbuka, seperti kelaziman rutin rakyat Malaysia.
Wanita Korea bertanya soalan berkenaan ibadah puasa di bulan Ramadan
Ketika berbuka, mereka berdua telah berbincang berkenaan amalan berpuasa dalam konteks agama Islam. Pada awalnya, Wong bertanya kepada teman wanitanya berkenaan sebabnya untuk berpuasa pada tahun ini.
“Adakah atas sebab apa yang berlaku di Gaza?,” soal Wong kepada teman wanita.
Sebagai konteks, kedua-duanya merupakan aktivis kemanusiaan dan kerap memuat naik hantaran berkenaan isu kemelut di Palestin.
“Itu adalah sebahagian daripadanya…. Sebab setiap kali saya melihat orang kebuluran di sana, saya pun hendak memahami keadaan mereka,” jawab wanita tersebut.
Kim turut menjelaskan bahawa amalan berpuasa di bulan Ramadan ini dilakukan oleh setiap umat Islam di seluruh dunia.
“Jika ramai orang melakukannya bersama-sama, apa salahnya kita pun berpuasa bersama-sama,” kata Kim.
Jawapan teman wanitanya menyebabkan Wong menganggukkan kepala dan mengatakan beliau pun melakukan perkara yang sama.
Lelaki itu turut menjelaskan istimewanya suasana berpuasa di Malaysia yang mana, ada segelintir golongan bukan beragama Islam turut berpuasa bersama-sama rakan yang Islam.
Biasanya perkara tersebut dilakukan kerana suka-suka, merasai suasana Ramadan yang hanya datang sekali setahun serta memberi sokongan kepada rakan yang sedang berpuasa.
Dalam video yang sama, Kim turut menjelaskan bahawa masyarakat Korea Selatan rata-rata mengetahui berkenaan Ramadan.
Akan tetapi, ramai yang tidak mengetahui sebab mengapa umat Islam perlu berpuasa pada waktu ini.
Justeru, Wong menjelaskan sebab tersebut kepada Kim mengikut apa yang diketahui olehnya.
“Umat Islam berpuasa untuk mendekatkan diri kepada Tuhan.
“Mereka merendahkan diri untuk memahami keadaan orang lain yang lebih miskin, yang lebih menderita di dunia ini,” jawab Wong.
Selain itu, Wong turut menjawab beberapa soalan menarik daripada Kim berkenaan ibadah puasa. Antara soalan yang ditanya adalah bagaimanakah penentuan waktu berbuka puasa dalam agama Islam.
Wong menerangkan dengan tepat yang mana umat Islam akan mula berpuasa pada waktu pagi sehingga terbenamnya matahari.
Beliau turut menjelaskan terdapat senarai waktu berbuka puasa yang dikeluarkan oleh badan-badan agama untuk rujukan orang ramai.
Menelusuri ruangan komen, ramai yang kagum dengan pengetahuan Wong berkenaan ibadah berpuasa untuk orang Islam.
“Bagus lah Wong banyak pengetahuan pasal Islam. Respect lah Mr.Wong… Salute,” komen seorang pengguna.
Menjawab komen tersebut, Wong berkata dia tahu serba sedikit ilmu mengenai Islam dari rakannya yang berbangsa Melayu.
“Masa lepak dengan member Melayu sambil-sambil kongsi ilmu pasal Islam, politik dan lain-lain lama-lama jadi pandai la sikit,” jawab Wong pada ruangan komen.
Baca juga: Setahun isteri hilang, rupanya mayat dah ditanam depan rumah