Kalah berdepan Belanda jadikan pengalaman untuk menentang Chile. Skuad hoki negara diminta belajar daripada pengalaman apabila berdepan Belanda dalam aksi pembukaan Kumpulan C Piala Dunia 2023 di Stadium Antarabangsa Birsa Munda, Rourkela, India pada 14 Januari ini.
Jurulatih penjaga gol negara, S Kumar berkata, skuad The Speedy Tigers seharusnya tidak terlalu memandang tinggi keupayaan lawan mereka itu sehingga mengundang padah.
“Pada Piala Dunia 2018 di India, aksi pertama kita lawan Belanda dan pada edisi kali ini juga akan berdepan Belanda. Jadi kita kena beri yang terbaik kerana keputusan aksi pertama penting.
“Bila main dengan Belanda, kita mula rasa lemah… tak boleh macam itu, mental perlu kuat. Saya harap pengalaman menentang Belanda pada Piala Dunia 2018 boleh dijadikan pengajaran,” katanya.
Pada kempen Piala Dunia 2018, Malaysia bermula dengan langkah kiri apabila mengalami kekalahan besar 0-7 kepada Belanda dalam saingan pembuka tirai Kumpulan D di Bhubaneswar, India.
Kumar berkata, persoalan mengenai keputusan perlawanan bukan keutamaan, sebaliknya barisan pemain negara perlu menampilkan terbaik, sekali gus melakar keputusan positif.
“Kita bermain secara berpasukan. Tak kisah siapa yang turun beraksi nanti, pemain-pemain perlu pamer prestasi terbaik secara individu dan berpasukan,” ujarnya.
Selepas pertemuan menentang Belanda, Malaysia dijadualkan berdepan Chile di venue sama pada 16 Januari sebelum mengakhiri aksi Kumpulan C bertemu New Zealand di Bhubaneswar pada 19 Januari.
Pencapaian terbaik Speedy Tigers di pentas Piala Dunia adalah menduduki tempat keempat di laman sendiri pada 1975, manakala edisi terakhir di India menyaksikan skuad negara sekadar di kedudukan ke-15.
BACA JUGA:
Tak bayar tol 45 kali, kereta mewah ditahan
Negeri yang ditabir PAS alami kesukaran dalam pentadbiran negeri – Abdul Hadi Awang