Kantin sekolah dicadang guna ‘cashless’, ramai mak ayah tak ada tunai

Masalah kehilangan duit belanja, wang dipinjam rakan kelas, serta kesukaran mencari wang kecil untuk dibekalkan kepada anak-anak ke sekolah telah menyebabkan segelintir ibu bapa mencadangkan agar kantin sekolah menyediakan sistem pembayaran tanpa tunai.

Dalam perkongsian seorang ibu di Facebook baru-baru ini, beliau menekankan keperluan pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk meneliti cadangan ini bagi mengatasi pelbagai masalah yang dihadapi oleh murid dan ibu bapa.

Antara masalah yang sering dihadapi ialah anak-anak sekolah rendah kerap kehilangan wang belanja disebabkan terlalu aktif di dalam kelas.

“Anak hilang duit sebab cuai, kes kecurian duit di sekolah, kes terlebih bayar (ini saya pernah lihat sendiri, saya beli makanan di kantin sekolah, pelajar depan saya bayar RM1 untuk makanan 50 sen tetapi tidak dapat baki),” katanya.

Beliau juga menyatakan bahawa banyak kes anak-anak membazir duit untuk membeli makanan yang tidak sihat seperti jajan. Jika anak-anak tidak membawa wang yang cukup, mereka mungkin tidak cukup makan dan akhirnya kelaparan.

Menurutnya, kebanyakan ibu bapa zaman kini lebih menggunakan sistem tanpa tunai untuk membuat pembayaran sehingga mereka tidak mempunyai wang fizikal di dalam dompet.

“Sila tambah baik. Boleh tak kantin sekolah ‘upgrade’ sistem pembayaran sebab sekarang semua nak cashless, dari Touch ‘n Go ke e-dompet, mak ayah tak ada dah duit fizikal nak bagi dekat anak-anak. Satu hal nak kena cari duit tukar malam-malam buta bila lupa ‘cash’ dah habis untuk anak-anak esoknya,” katanya.

Wanita tersebut turut berkongsi beberapa cadangan yang boleh diaplikasi oleh pihak kantin sekolah:

Sistem Kredit: Menggunakan kad pelajar ala Touch ‘n Go di mana ibu bapa boleh mengisi duit secara online. Pelajar hanya perlu menyentuh kad di kaunter kantin untuk membuat pembayaran.

Sistem Online Pelajar: Ibu bapa boleh menambah nilai secara online setiap bulan mengikut jumlah yang dikehendaki. Pelajar hanya perlu memberitahu nama di kaunter kantin untuk membuat pembayaran.

Bayaran Bulanan Terus: Kantin menyediakan menu bulanan dan ibu bapa membuat bayaran sebulan terus.

Dengan menerapkan sistem pembayaran tanpa tunai, ia bukan sahaja memudahkan urusan ibu bapa dan pelajar, tetapi juga membantu mengatasi masalah kehilangan duit, kecurian, dan penggunaan wang secara tidak berhemah di kalangan murid. Pihak KPM diharapkan dapat mempertimbangkan cadangan ini untuk kebaikan semua pihak.

Baca: Hanya sebab rider OKU yang hantar, wanita ini geli nak makan