Kantoi !!! 14 ahli keluarga dijaja maut akibat Covid-19 ,lelaki ini raih sumbangan RM 91 ribu

Kantoi !!! 14 ahli keluarga dijaja maut akibat Covid-19 ,lelaki ini raih sumbangan RM 91 ribu

Pekerja kontraktor Petronas Pengerang yang ditahan selepas disyaki menyebarkan berita palsu kononnya kehilangan 14 ahli keluarga akibat Covid-19 didapati meraih sumbangan sejumlah RM91,000.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi menahan suspek berumur 45 tahun itu semalam selepas lelaki itu hadir ke Balai Polis Bayu Damai.

Beliau berkata, suspek ditahan ketika hadir sendiri ke balai polis dipercayai ingin membuat laporan bagi melindungi dirinya.

Menurutnya, siasatan mendapati suspek setakat ini dipercayai menerima sumbangan sebanyak RM91,000.

“Hasil maklumat dan siasatan mendapati suspek menyebarkan berita palsu bagi mendapatkan sumbangan derma sejak Jun lalu.

“Suspek kini direman selama empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh tidak kurang satu tahun dan tidak lebih dari sepuluh tahun, denda dan sebat juga boleh dikenakan,” katanya menerusi kenyataan media.

Hussin berkata, polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan membuat penilaian sebelum membuat apa-apa sumbangan derma supaya tidak menjadi mangsa penipuan.

Terdahulu Petronas menafikan dakwaan pekerja kontraktornya kehilangan 14 ahli keluarga akibat Covid-19.

Menurut maklumat yang tular di media sosial, lelaki itu mendakwa berdepan ujian berat apabila kehilangan ahli keluarga sejak Jun hingga bulan ini.

Lelaki itu mendakwa mempunyai lapan anak dan kehilangan isteri serta tiga anaknya pada Jun dan Julai lalu.

Pada 2 September lalu, lelaki itu mendakwa lima lagi anaknya bersama ibu, kakak dan abang ipar serta dua anak mereka turut meninggal dunia.

Mesej tular itu turut memuatkan nombor akaun lelaki berkenaan bagi mereka yang ingin menyalurkan sumbangan.

Berita penuh : https://www.hmetro.com.my/utama/2021/09/751243/lelaki-jaja-kisah-14-ahli-keluarga-maut-akibat-covid-19-sudah-raih-sumbangan

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )