Keahlian Pejuang dibuka hanya untuk orang Melayu – Mahathir

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, keahlian parti baharu yang diasaskannya, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), hanya dibuka untuk orang Melayu dan ia bermatlamat untuk menyelesaikan pelbagai masalah yang masih membelenggu kaum itu termasuklah kemiskinan.
“Pendapat kita ialah orang Melayu kita ada banyak masalah, berbanding kaum lain dan satu penyelesaian yang dilaksanakan untuk semua kaum tidak berkesan untuk orang Melayu,” kata Pengerusi penaja Pejuang itu pada sidang media di sini hari ini.
Menurutnya, Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan untuk untuk membantu kaum Melayu, namun beliau melihat pihak lain lebih menerima manfaat itu.
“Kita ingin menentukan penyelesaian untuk orang Melayu ini dibuat oleh orang Melayu yang faham tentang masalah orang Melayu yang mempunyai budaya berlainan daripada yang lain,” katanya.
“Walaupun Pejuang adalah parti untuk kaum Melayu namun ia tidak ‘berperang’ dengan kaum bukan Melayu kerana tanpa sokongan pengundi bukan Melayu, ia tidak boleh menang ketika pilihan raya,” tambahnya.
“Kita akan sokong mana parti yang baik, kita tidak melawan menentang kaum bukan Melayu, kita fokus untuk melawan masalah yang dihadapi kaum Melayu,” katanya.
Mengenai status pendaftaran parti itu di Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS), Dr Mahathir berkata permohonan masih diproses dan sekiranya penubuhan parti itu belum diluluskan sehingga Pilihan Raya Umum akan datang, pihaknya mempunyai strategi lain untuk bertanding.
Mengenai Pilihan Raya Negeri Sabah, Dr Mahathir berkata Pejuang akan menyokong Parti Warisan Sabah (Warisan) pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan beberapa pemimpin Pejuang akan membantu kempen Warisan di Sabah.

Berita penuh: https://beta.astroawani.com/berita-malaysia/pejuang-untuk-selesaikan-masalah-orang-melayu-dr-mahathir-257864