Kebaikan Tidur Memakai Stokin.
WALAUPUN kelihatan seperti pelik tidur memakai stoking, namun ia boleh membantu untuk tidur lebih cepat dan nyenyak.
Tidur adalah keperluan penting kepada setiap orang dan manusia menghabiskan kira-kira satu pertiga daripada harinya untuk tidur.
Tidur adalah penting untuk fungsi otak dan badan yang normal.
Ramai mengalami kesukaran untuk tidur dan salah satu teknik mengatasi masalah ini ialah tidur dengan memakai stoking.
*Berikut kelebihan tidur memakai stoking*
*1. Bantu mudah tidur*
Mungkin ada beranggapan tidur memakai stoking membuatkan kaki berasa panas.
Tetapi, sebenarnya tabiat ini membantu mengawal suhu dalaman badan.
Satu kajian pada 2007 mendapati, individu dewasa memakai stoking membantu seseorang mudah tidur.
Ini kerana, suhu badan menurun pada waktu malam dan mencapai suhu paling rendah pada jam 4 pagi.
*2. Tidur dan suhu badan*
Suhu badan seseorang dipengaruhi oleh jam biologi mereka iaitu ritma sirkadian.
Ritma sirkadian mengawal masa tidur, membuatkan seseorang mengantuk pada waktu malam dan terjaga apabila pagi.
Suhu badan meningkat beransur-ansur pada siang hari dan kemuncaknya lewat petang.
Kemudian, suhu badan menurun pada waktu malam yang membuatkan seseorang berasa mengantuk.
Apabila tidur, suhu badan menurun sebanyak satu hingga dua darjah Celcius.
Jika tidur memakai stoking, ia membantu mengawal kitaran suhu badan.
*3. Mengurangkan gejala penyakit ‘raynaud’*
Penyakit raynaud ialah keadaan yang menjejaskan saluran darah dalam kulit.
Serangan ini lazimnya berlaku apabila seseorang berasa sejuk atau tertekan.
Ketika serangan, aliran darah ke tangan dan kaki berkurangan.
Akibatnya, jari tangan dan kaki mula terasa sejuk serta kebas (boleh bertukar warna putih atau biru-kebiruan).
Oleh itu, tidur memakai stoking dapat mengelakkan masalah ini dan memanaskan badan sepanjang hari.
*4. Mencegah ‘hot flushes’*
Ramai wanita menopaus akan mengalami ‘hot flushes’ termasuk rasa kehangatan tiba-tiba di seluruh badan, berpeluh, berdebar-debar dan muka kemerahan.
Stoking ini membantu menurunkan suhu badan pada waktu malam dan boleh memberi manfaat mencegah ‘hot flushes’.
Ini kerana, ‘hot flushes’ berpunca daripada hormon tidak stabil yang menjejaskan kawalan suhu badan.
*5. Manfaat kepada kulit kaki*
Memakai stoking ketika tidur juga dapat ‘memanjakan’ kaki.
Menyapu losyen pada kaki sebelum tidur dan kemudian memakai stoking sebelum tidur dapat mengekalkan kelembapan pada kaki, sekali gus mengelakkan kulit kaki daripada kekeringan.
BACA JUGA :
Hyatt Centric Kota Kinabalu: Rekaan Arkitek Terkenal dari Jepun, Inspirasi Hidup Alam Semulajadi