Walaupun telah memberikan penerangan yang jelas, pempengaruh bernama Ryzal Ibrahim, 32 tahun, tetap mendapat kecaman daripada netizen yang mendakwa bahawa dia memasuki sebuah gereja semasa melawat International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC) di Bukit Tunku.
Dalam video lawatannya itu, Ryzal, atau dikenali dengan nama sebenarnya Nik Muhammad Rizal Nik Ibrahim, menyatakan bahawa bangunan tersebut mempunyai seni bina yang seakan-akan mirip dengan gereja.
“Kamu tahu tak ini tempat apa? Nampak macam ‘familiar’ kan? Nampak macam gereja kan? Tempat ini adalah dewan kajian Islamik.
“‘Set-up’ tempat ini nampak macam meragukan. Namun, bila kita sampai sini, ia lebih kepada Islamik. Ia ada seni bina ukiran Sepanyol dan sedikit seni bina Islam,” katanya.
Walau bagaimanapun, masih terdapat komen yang mendakwa bangunan itu pernah digunakan sebagai gereja suatu ketika dahulu.
Mengikut penularan perdebatan tersebut, akaun The Patriots mengambil inisiatif untuk berkongsi fakta dan memberikan ulasan yang lebih terperinci mengenai rekaan ISTAC di Facebook.
Menurut penjelasan mereka, seni bina ISTAC sebenarnya terinspirasi daripada seni bina Andalusia – Maghribi. Ini sebagai penghormatan dan inspirasi kepada kegemilangan umat Islam di Sepanyol pada satu ketika dahulu yang ingin diulangi semula dalam era moden.
“Institut ini sepatutnya kita umat Melayu kenal. Ia didirikan oleh Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas dan dirasmikan oleh Tun Mahathir Mohamad pada 1991. Tapi sayang, saya jumpa komen-komen yang kata ia macam gereja dan hina institut yang berjasa pada perkembangan Tamadun Melayu-Islam kini.
“Sebegini bebalkah rakyat Malaysia, kalau ISTAC yang menjadi pusat pemikiran mengkaji peradaban Islam pun mereka tak kenal?
“Pada hari ini, Dinasti Nasriyah paling diingati sebagai negara Muslim terakhir di Semenanjung Iberia setelah tumbangnya Granada kepada Kristian-Sepanyol. Lebih utama adalah legasi yang ditinggalkan olehnya terutama Alhambra.
“Seni bina Maghribi-Andalusia pun kita tak kenal sehingga didabik sebagai gereja? Oh Alhambra, menangislah dikau di Sepanyol sana, dek kerana kejahilan anak bangsa aku,” katanya.
The Patriots juga membuat perbandingan dengan contoh Hagia Sophia yang terletak di Turki. Bangunan itu sebelum ini adalah sebuah gereja yang kemudian ditukar menjadi masjid semasa zaman Al-Fateh.
Baca Juga : ‘Takkan saya berbikini tak boleh, susahlah orang kita ni’