Kehadiran Nik Ezanee ceriakan kanak-kanak pesakit jantung kronik

Kehadiran Nik Ezanee ceriakan kanak-kanak pesakit jantung kronik. Impian seorang kanak-kanak pengidap penyakit jantung kronik bertemu idolanya, Senior Asisten Komisioner (SAC) Nik Ezanee Mohd Faisal, menjadi kenyataan apabila pegawai kanan dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman itu turun ke Jempol memenuhi impiannya.

Zakuan Harith Mikhail Zaidi, 10, dari Bandar Seri Jempol yang turut cacat pendengaran, ternyata gembira dengan pertemuan itu, selain dibawa bersiar-siar dengan menaiki kenderaan rasmi Nik Ezanee, selama kira-kira 20 minit.

Nik Ezanee turut membawa Zakuan Harith Mikhail melawat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol dan meluangkan masa kira-kira 25 minit di situ.

Ibu kanak-kanak itu, Fazlina Mohd Said, 44, berkata anaknya itu cukup meminati Nik Ezanee dan sentiasa mengikut perkembangan pegawai polis berkenaan menerusi aplikasi Tik Tok.

Katanya, anaknya bersungguh-sungguh mahu berjumpa dengan Nik Ezanee ketika mereka berbual sebelum Ramadan lalu berikutan teruja dengan keperibadian pegawai kanan polis terbabit, malah turut meminta rambutnya digunting mengikut gaya Nik Ezanee.

Kehadiran Nik Ezanee ceriakan kanak-kanak pesakit jantung kronik

“Saya terkesan dengan permintaan anak kerana memahami apa yang sedang dilalui oleh anak kelima daripada enam beradik itu, malah doktor yang merawatnya juga memaklumkan harapan untuk sembuh sangat tipis.

“Sebagai ibu saya reda dengan ujian ini, malah sedaya upaya menunaikan impian bagi bertemu dengan idolanya,” katanya ketika ditemui di kediamannya.

Fazlina berkata, sebelum hari raya dia kemudian berjumpa dengan anggota di IPD Jempol sebelum diminta berhubung dengan pihak berkaitan di Bukit Aman.

Katanya, keluarga semakin cemas apabila anaknya itu dimasukkan ke wad Hospital Jempol pada hari raya pertama dan raya ke lima.

“Saya berhasil menghubungi Bahagian Perhubungan Awam Bukit Aman sebelum diminta menghantar maklumat berkaitan Zakuan Harith Mikhail kepada pegawai berkenaan.

“Zakuan Harith Mikhail sekali dimasukkan ke wad pada hari raya ke tujuh, namun kali ini di Hospital Tuanku Ampuan Najihah ( HTAN ) Kuala Pilah,” katanya.

Fazlina berkata, pada Isnin lalu, Nik Ezanee sendiri menghubunginya akan datang berjumpa anaknya sama ada pada hari sama atau keesokannya.

Namun beliau terkejut apabila Nik Ezanee tiba di kediaman pada jam 4 petang itu bersama dengan pemandunya.

Katanya, pegawai polis itu meluangkan masa bersama anaknya kira-kira 60 minit sambil membawanya bersiar-siar dan melawat IPD Jempol.

“Anak saya paling gembira kerana impian bertemu idolanya itu menjadi kenyataan, malah turut memotong gambar berkaitan Nik Ezanee dan menampalnya pada kertas dan akan membelek pada setiap masa,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai penyakit anaknya itu, Fazlina berkata, sejak berusia tiga bulan, anaknya sudah menjalani enam pembedahan berkaitan jantung.

“Rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) ketika ini tidak menentu dan bergantung keadaan kesihatan anak.

“Biarpun harapan untuk sembuh dianggap tipis, namun saya berserah sepenuhnya kepada Allah dan berharap keajaiban akan berlaku,” kata ibu tunggal itu.

Fazlina berkata, ketika ini dia menerima bantuan bulanan berjumlah RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selain bergantung hasil pendapatan sebagai peniaga makanan bagi membiayai keperluan rawatan anaknya itu.

BACA:

5 lokasi kolam air panas menarik untuk dikunjungi di Perak

Kereta elektrik keluaran Proton dijangka berada di pasaran 2023

Harga barangan makin naik, rakyat mengadu di media sosial Dafi.. Minta pesan ke ayah