Kehilangan ibu, asbab pintu taubat hadir dalam diri Mak Nyah

Kehilangan ibu, asbab pintu taubat hadir dalam diri Mak Nyah.

Detik keinsafan yang mula terbit mengamit golongan mak nyah untuk bertaubat kembali ke pangkal jalan seterusnya mula mendampingi dengan ajaran agama selepas sekian lama lalai dibawa arus nafsu songsang.

Selepas mendapat hidayah mereka tampil secara sukarela mengikuti program Kelas Bimbingan al-Quran dan fardu ain anjuran Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) lebih setahun lalu.

Kini, terdapat lebih 30 mak nyah mengikuti program terbabit di Rumah Ngaji Persatuan Insaf Pahang (PIP) Indera Mahkota di sini.

Tiga guru agama diberi tanggungjawab membimbing golongan terbabit setiap minggu pada Jumaat hingga Ahad.

Pengerusi Persatuan Insaf Pahang, Cik Nor, 50, (bukan nama sebenar) berkata, golongan terbabit yang benar-benar insaf sahaja tampil mengikuti program kelas bimbingan al-Quran dan fardu ain.

Menurutnya, terdapat lebih 200 ahli Persatuan Insaf Pahang membabitkan komuniti LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) namun kira-kira 30 sahaja yang tampil mengikuti program keagamaan yang diadakan oleh Muip.

Katanya, kelas bimbingan al-Quran dan fardu ain yang diadakan antara lain bertujuan membawa mereka yang sebelum ini terbabit dengan aktiviti songsang di lorong gelap kembali ke pangkal jalan.

“Ada kalangan mereka yang sebelum ini terlalu lama meninggalkan al-Quran kerana dibawa arus maksiat, kini mula mendampingi kitab suci yang dapat menghalang mereka daripada meneruskan kegiatan bertentangan dengan agama.

“Ada juga yang baharu mula mengenali al-Quran, mereka bermula dengan membaca Iqra secara berperingkat. Kesungguhan yang ditunjukkan begitu membanggakan,” katanya.

Beliau berkata, terdapat juga dalam kalangan mereka yang belajar mengaji tidak terbabit dengan aktiviti songsang, mereka mempunyai kerjaya dalam sektor swasta dan kerajaan termasuk berniaga.

Cik Nor berkata, selain warga tempatan terdapat juga mak nyah dari Thailand dan Indonesia yang turut sama mengikuti kelas al-Quran dan fardu ain selepas mendapat cahaya keinsafan.

“Kelas bimbingan al-Quran dan fardu ain yang dianjurkan Muip amat bererti buat golongan mak nyah yang telah insaf dengan tunjuk ajar yang diterima dapat mengembalikan semangat mereka untuk meneruskan kehidupan normal bebas daripada aktiviti songsang yang pernah dilalui sebelum ini.

“Saya akan terus berusaha menarik lebih ramai lagi mak nyah di daerah ini menyertai program yang diadakan, walaupun ia sukar tetapi usaha ke arah itu tetap diteruskan,” katanya.

Rakannya yang dikenali sebagai Kak Jun, 60, berkata selepas 25 tahun bergelumang dengan aktiviti songsang dalam dan luar negara, akhirnya pintu taubat hadir dalam dirinya selepas kehilangan ibu tersayang.

Menurutnya, perjalanan hidup sebagai mak nyah bertaraf antarabangsa penuh dengan keseronokan, tanpa pernah memikirkan dosa dan janji balasan dari Yang Maha Esa.

“Dalam kelekaan melayan hawa nafsu songsang, hidayah untuk bertaubat datang selepas kehilangan ibu yang tidak reda dengan perbuatan saya sejak sekian lama.

“Saya nekad untuk bertaubat dan mengikuti kelas bimbingan al-Quran dan fardu ain di beberapa tempat dan kini bersama program anjuran Muip sejak ia diwujudkan setahun lalu,” katanya.

Bagi Kak Lier, 44 (bukan nama sebenar), selain belajar di kelas bimbingan al-Quran dan fardu ain, dia turut membantu mengajar rakan-rakan lain yang malu untuk belajar dengan ustaz.

Katanya, sedikit kemahiran membaca al-Quran yang ada membolehkan dia membantu dalam melancarkan program pendidikan agama bagi golongan mak nyah yang ingin insaf.

Sementara itu, bagi Mohd Khairul Shaharudin, 42, yang bertanggungjawab mengajar golongan mak nyah di kelas bimbingan al-Quran dan fardu ain, menegaskan bukan mudah untuk mengajar golongan berkenaan.

“Naluri dan perwatakan mak nyah lebih lembut daripada wanita, mereka mudah merajuk, cemburu dan sentiasa ingin perhatian.

“Walaupun susah untuk mengajar mereka namun semangat menimba ilmu yang ditunjukkan golongan terbabit amat tinggi, mereka sentiasa berusaha tanpa rasa jemu, malu dan putus asa,” katanya yang juga tenaga pengajar Briged Arriqob Muip.

BACA JUGA:

7 tips Imbangi Hidup Bagi yang Buat Kerja Sambilan

4 cara hafal al-Quran yang boleh diamalkan oleh guru dan murid

Jenis-jenis ‘Sabar’ yang perlu diketahui

COMMENTS

Wordpress (0)